Impak program itu tidak dinafikan cukup bermanfaat buat kerjaya Noryn Aziz, 41, yang sekian lama mengintai peluang untuk menembusi pasaran yang lebih besar.

Lantaran itu, penulis merasa yakin program hiburan yang telah memasuki musim kelima ini bakal melonjakkan lagi nama Noryn dalam persada muzik tempatan dan antarabangsa.

Namun begitu, laluan bukan mudah buat ibu kepada seorang cahaya mata ini memandangkan GV kali ini turut disertai nama-nama besar termasuk Amelina, Zamani dan Dia Fadila yang mempunyai ramai pengikut.

Sungguhpun wujud persaingan, itu tidak sedikit pun mematahkan semangat Noryn. Malah dia sendiri mengakui tidak mahu menganggap GV sebagai satu pertandingan, sebaliknya lebih kepada laluan untuk belajar sesuatu yang baharu demi kelangsungan dalam industri yang semakin lama semakin matang ini.

“Saya tidak akan menganggap GV sebagai satu platform untuk bersaing kerana anggapan itu hanya akan mewujudkan tekanan yang tidak diperlukan saya.

“Sebaliknya, dalam program ini, saya akan ambil peluang untuk belajar, lebih-lebih lagi berkenaan genre muzik yang diminati pendengar masa kini,” katanya kepada S2.

Jika diselak sedikit tentang sejarah penglibatan dalam industri muzik, Noryn memulakan kerjaya sebagai penyanyi sejak 1996. Ketika itu, vokalis jelita ini menjadi salah seorang anggota kumpulan Sister-Sister.

Sehinggalah pada 1997, Noryn mengambil keputusan untuk bergerak solo dan tampil dengan album sulung bertajuk Fantasi O Realiti.

Sebelum menyertai GV, Noryn seakan hilang daripada radar persada seni negara. Hakikatnya, kerjaya nyanyian anak kelahiran Selangor ini tidak pernah berhenti, malah sentiasa aktif memenuhi undangan membuat persembahan di majlis korporat dan kelab-kelab ternama sekitar Kuala Lumpur.

Namun sebagai ibu, Noryn akui keperluan untuk memperlahankan sedikit aktiviti nyanyian demi meluangkan lebih masa bersama Raja Bariq yang menjadi keutamaannya ketika ini.

Dalam pada itu, bercakap soal muzik, Noryn memberitahu akan tampil dengan sebuah album baharu yang dijangka menemui pendengar pada tahun hadapan.

Album yang turut melibatkan sentuhan komposer terkenal, Ajai itu akan memuatkan lima buah lagu baharu berentak pop.

“Projek ini bermula sejak awal tahun. Saya rasa masa paling sesuai untuk memasarkannya adalah selepas musim Gegar Vaganza nanti.

“Saya pilih Ajai, untuk dapatkan sentuhan pop dalam album ini. Beliau nasihatkan saya agar kekalkan sedikit elemen jazz kerana muzik itu menjadi identiti yang akan sentiasa melekat pada nama saya,” ujarnya.