Pada tangan seniman ini pelbagai rentak dan ritma yang dahulunya seakan-akan usang, kembali segar dipersiaganya. Di jiwanya kental bersakar kecintaan terhadap akar budayanya - budaya Melayu!

Pun begitu, semalam telah padamlah kandil ilham daripadanya. Sekalipun betapa kukuh cinta yang dipancarkan melalui ritma ciptaannya, dia reda dan akur kepada panggilan Sang Pencipta.

Lantas tidak sedikit daripada kita yang ditinggalkan merasa terpempan tatkala menerima khabar duka ini. Tiada lagi Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau lebih mesra disapa Pak Ngah di sisi kita selama-lamanya.

Dan lumrah manusia itu sememangnya hanya menghargai seseorang setelah dia berpulang ke alam baka.

Pak Ngah, kamu pergi ketika industri muzik masih memerlukan sentuhan emasmu, ketika nafas irama Malaysia sedang bergelut mencari pelapis untuk mewarisi kegemilangan seni dan kebudayaan kita.

Masih terbayang di fikiran penulis, gurau senda Pak Ngah yang sentiasa membuatkan sesiapa saja tidak kering gusi. Demikian juga keramahan dan kemurahan hati Allahyarham tiada tolok bandingnya.

Sehingga artikel ini ditulis, penulis masih lagi bingung dan seperti tidak percaya Pak Ngah yang dikenali hampir 22 tahun pergi membawa kemasyhuran, kebaikan, pengalaman dan ilmu yang penuh pada dada.

Seorang seniman yang meletakkan sepenuh kecintaan dan kasih serta sayangnya kepada seni. Siapa mungkin menafikan idea dan buah fikirannya yang sentiasa segar.

Rangkaian karya agung ciptaan Pak Ngah seperti Cindai, Ala Dondang, Balqis, Hati Kama, Nirmala, Samrah Mentari, Yayadan dan banyak lagi merupakan justifikasi kepada kejujuran kerja-kerja seni beliau.

Sejujurnya, kita harus mengakui Pak Ngah telah melakar sejarah yang cukup gemilang dalam industri muzik tanah air apabila berjaya mencetuskan fenomena dan kecintaan pencinta seni terhadap lagu-lagu berentak tradisional atau etnik kreatif.

Pada tangan beliau, irama Malaysia memperoleh ‘talian hayat’ ketika genre berkenaan bagaikan hampir pupus ditelan arus pemodenan sekitar tahun 1997.

Permulaan kebangkitan irama Malaysia tentu sekali menerusi lagu Ala Dondang nyanyian Noraniza Idris yang kemudiannya menyaksikan Pak Ngah memberi hidangan Cindai (Siti Nurhaliza) yang menempa kemasyhuran luar biasa.

Cindai juga telah membawa Pak Ngah berkelana sehingga ke Indonesia lantaran penerimaan peminat muzik di sana terhadap lagu berkenaan cukup memberangsangkan.

Bertuahnya Pak Ngah ialah beliau tidak hanya mahir menghasilkan lagu-lagu berentak irama Malaysia, sebaliknya, namanya juga sangat sinonim dalam penghasilan lagu-lagu tema dan patriotik.

Bahkan resume Pak Ngah sebagai penggiat seni turut merangkumi pengalaman luas Allahyarham sebagai Pengarah Muzik untuk acara-acara atau program berskala mega antaranya pada tahun 1986 telah memperlihat keupayaan beliau sebagai Pengarah Muzik bagi acara Pembukaan dan Penutupan Sukan SEA di Kuala Lumpur.

Pejuang seni dan budaya

TENTU sekali pemergian seniman yang pernah digelar sebagai Bapa Irama Malaysia ini tidak hanya meninggalkan kesan yang mendalam kepada keluarga Allahyarham.

Sebaliknya, anak-anak didik Pak Ngah tidak terkecuali terkejut sebaik mendapat khabar berita duka mengenai kehilangan tokoh yang telah memberikan sumbangan bakti yang tidak ternilai pada industri seni negara.

Paling terkesan tentu sekali Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang dikenali ramai sebagai seorang yang sangat akrab dengan Allahyarham Pak Ngah.

Dalam kehidupan Siti Nurhaliza, Pak Ngah bukan sekadar rakan industri, sebaliknya, Allahyarham juga sudah dianggap seperti bapanya sendiri.

“Arwah adalah pejuang seni dan budaya yang banyak membantu karier saya sejak bergelar penyanyi. Saya amat terkesan atas kehilangannya,” kata Siti Nurhaliza dalam nada sebak.

Kedukaan Siti Nurhaliza terhadap pemergian Pak Ngah mudah diduga kerana Allahyarham merupakan individu yang bertanggungjawab mencorak kerjaya seninya khususnya dalam memperjuang irama muzik Malaysia sepanjang lebih dua dekad dia aktif dalam gelanggang industri hiburan.

Siti Nurhaliza juga tidak akan pernah lupa jasa dan sumbangan Allahyarham khususnya dalam menghasilkan banyak karya seni yang luar biasa sepanjang hayat beliau.

“Semoga karya-karya Pak Ngah akan terus hidup meskipun Pak Ngah sudah tiada,” kata Siti Nurhaliza yang juga merakamkan lagu-lagu ciptaan Pak Ngah yang lain seperti Nirmala dan Balqis.

Tidak ketinggalan penyanyi Noraniza Idris yang juga mengakui, sangat terkejut sebaik dimaklumkan komposer terkenal itu meninggal dunia.

“Saya masih bingung dan tidak percaya. Walaupun dia sudah tiada, semestinya arwah akan sentiasa berada dalam ingatan semua, terutama penyanyi-penyanyi yang pernah menyanyikan lagu-lagu ciptaannya.

“Kenangan gurau sendanya pasti akan dikenang memandangkan itulah personalitinya yang paling mudah diingati semua orang,” kata Noraniza.

Menyelesuri satu demi satu pengalaman mereka yang pernah mendampingi Pak Ngah, suatu hal yang paling banyak diceritakan mengenai Allahyarham ialah mengenai sikapnya yang begitu peramah dan sangat pemurah.

Tiada erti sombong atau lokek pada keperibadian seniman kelahiran Kampung Baru di ibu negara ini. Bahkan, sepanjang masa pejabat Pak Ngah Production Sdn. Bhd., serta kediamannya yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur sentiasa menerima kunjungan tetamu.

Bagi pensyarah, pelakon dan pengarah teater terkenal, Norzizi Zulkifli, Allahyarham Pak Ngah memiliki keperibadian yang terlalu menawan untuk dikenang.

Sebagai antara individu yang dekat dengan Pak Ngah dan keluarganya, Norzizi secara terbuka mengakui, antara keperibadian Pak Ngah yang luar biasa ialah Allahyarham seorang yang terlalu pemurah dan tidak pernah lokek berkongsi rezeki dengan sesiapa sahaja.

“Allahyarham seorang yang terlalu pemurah. Bayangkan, setiap kali keluar makan, beliau sendiri yang akan bertegas untuk membayar.

“Saya amat yakin ramai orang yang mengenali Allahyarham akan mengakui betapa Pak Ngah tidak pernah berkira atau kedekut dengan sesiapa sahaja” kata Norzizi berkongsi pengalaman.

Pak Ngah yang meninggal dunia semalam di Batam, Indonesia bukan hanya meninggalkan isteri, Sharifah Mahani Syed Kassim dan dua permata hati, Siti Syafrina dan Megat Mohd Syahraini, bahkan beliau membekalkan legasi seni untuk kita sama-sama menghargai kesenian dan kebudayaan Melayu yang tidak mampu diukur dengan wang ringgit.

Selamat jalan seniman. Segala ritma ciptaanmu bernoktah semalam iaitu sehari sebelum ulang tahun kelahiran kamu yang ke-60.

Terima kasih atas karya-karya hebatmu. Kamu akan kami kenang sebagai pejuang seni dan budaya.

Al-Fatihah.