Lelaki berjiwa besar itu telah melakar landskap filem Hindi dengan karya-karya hebatnya termasuk menggilap bakat dan memberi peluang kepada tiga anak lelakinya sebagai bintang filem yang akhirnya menempa kemasyhuran yang bukan calang-calang.

Raj Kapoor, Shammi Kapoor dan Shashi Kapoor merupakan pewaris seni Prithviraj yang mencipta fenomena luar biasa ketika zaman kegemilangan mereka sekitar penghujung 1960-an membawa ke era 1970-an.

Pewaris keluarga Kapoor ini memainkan peranan yang sangat signifikan dalam sejarah industri perfileman India untuk berdekad lamanya.

Entah magis apa yang ada pada ketiga-tiga anak yang lahir daripada dinasti Kapoor ini sehingga berupaya memukau jutaan penonton di seluruh dunia dan menjadikan mereka seniman bertaraf legenda dalam industri perfileman India.

Selepas Raj dan Shammi meninggal dunia pada 1988 dan 2011, semalam giliran Shashi menutup usianya selepas bertarung dengan komplikasi buah pinggang untuk tempoh yang lama.

Sepanjang tempoh sakit, Shashi hilang dari radar media dan masyarakat umum. Kaum keluarga dan sahabatnya hanya mampu berusaha dan berdoa memohon kesejahteraan kesihatan beliau.

Namun hayat legenda perfileman India itu berakhir pada usia 79 tahun sekali gus membawa bersama seluruh memori dan kegemilangan yang diraih oleh lelaki paling tampan dalam keluarga generasi terawal Kapoor itu.

Hanya air mata mengiringi pemergian seorang seniman yang sangat dikenali ramai kerana komitmen luar biasanya terhadap seni.

Kejayaan yang diraih Shashi bukannya mudah. Sekalipun bergelar anak bongsu perintis industri filem Bollywood namun mendiang juga harus bermula dari bawah menjadi pembantu kepada ayahnya.

Shashi meraih pendedahan dalam gelanggang filem ketika menemani ayahnya ke set-set penggambaran selain sering bertukar pengalaman dan mendapat tunjuk ajar dengan pelakon ternama yang sering berkunjung ke kediaman mereka.

Mendiang Shashi sendiri melakar sejarah yang sangat gemilang sepanjang bergelar anak wayang. Dengan ketampanan paras rupa menjadikan beliau antara hero yang paling laku ketika namanya di kemuncak sekitar 1970-an dan 1980-an.

Kesibukan jadual kerja menyebabkan ada masanya mendiang terpaksa lari ke beberapa set penggambaran untuk menyelesaikan penggambaran filem-filem yang berbeza pada satu masa sehinggakan sejumlah besar masanya dihabiskan di lokasi.

Antara filem lakonan Shashi yang sehingga kini menjadi kegilaan ramai ialah Aa Gale Lag Jaa (1973), Deewaar (1975) dan Kabhie Kabhie (1976).

Kerjaya seni turut membawa seniman ini membintangi filem-filem Hollywood termasuk The Deceivers (1988) di samping Pierce Brosnan.

Pemergian Shashi semalam dilihat pemerhati filem di India sebagai penutup kegemilangan dinasti terawal keluarga Kapoor yang telah mencorakkan warna dalam landskap industri filem di negara itu.

Selepas era Raj, Shammi dan Shashi generasi Kapoor yang mengambil alih pentas perfileman Bollywood ialah Randhir Kapoor, Rishi Kapoor dan Rajiv Kapoor sementara nama-nama keluarga Kapoor yang sedang aktif pada masa kini ialah Karisma Kapoor, Kareena Kapoor dand Ranbir Kapoor.

Mendiang Shashi berkahwin dengan pelakon terkenal Jennifer Kendal pada 1958. Isteri yang dikasihi itu meninggal dunia pada 1984 ketika berusia 50 tahun akibat penyakit kanser.

Semenjak itu, Shashi tidak pernah berkahwin lain sebaliknya dia ditemani anak-anaknya hasil perkahwinan dengan Kendal iaitu seorang anak perempuan, Sanjana Kapoor, dua anak lelaki Kunal Kapoor dan Karan Kapoor serta beberapa orang cucu.