Tidak menolak ada yang berpendapat kehidupan yang dilaluinya kini terlalu sempurna sehingga tidak memerlukan dia bekerja keras, kata Noh berterus terang, sama seperti mereka di luar sana dia juga tidak ketinggalan berusaha gigih dalam mencari rezeki.

“Orang selalu ingat hidup artis sering dilimpahi kemewahan, tetapi mereka tidak tahu kami bekerja keras dalam mencari rezeki. Sama sahaja.

Noh Salleh

“Sedih juga bila tahu ada mentaliti yang menyangka apabila bertemu jodoh dengan pasangan dari keluarga berada, sekelip mata saya jadi kaya. Lebih sedih bila pendapat itu datang dari mereka yang rapat,” katanya.

Tidak melihat kekurangan dalam kehidupannya kini kata Noh, dalam tempoh sekarang dia cukup bersyukur dengan apa yang dimiliki.

Malah, menjalani kehidupan yang ringkas membuatkan dia yakin masih ramai yang memerlukan bantuan di luar sana.

“Cukup makan, cukup pakai, rasanya tiada apa yang diperlukan saya lagi ketika ini. Memang itu yang saya amalkan iaitu tidak mempunyai nafsu untuk berbelanja besar.

“Waktu sekarang fokus saya adalah untuk membantu orang lain. Tidak sekadar memberikan sokongan melalui bentuk kewangan tetapi dalam masa yang sama memberi kesedaran kepada orang lain agar turut membantu,” katanya.

Debu Bercahaya

Bercakap mengenai single terbaharunya berjudul Debu Bercahaya, kongsi Noh, dia mengambil masa sehingga empat tahun untuk menyiapkannya.

Menjelaskan faktor kewangan sebagai sebab utama kelewatan, namun dia yakin kehadiran single ini cukup memuaskan hati memandangkan lagu tersebut dikeluarkan dengan usahanya sendiri.

“Saya perlu kumpul wang sebelum boleh melancarkan lagu baharu. Jadi dalam tempoh yang panjang itu saya perlu berusaha dalam merealisasikan cita-cita ini.

“Saya tidak kisah menanti agak lama kerana untuk menghasilkan karya yang baik, memang memerlukan masa,” kongsinya.

Bercerita mengenai lagu tersebut, kata Noh, inspirasi untuk lagu ini hadir ketika dia melihat sendiri pengalaman rakannya yang ditimpa kecelakaan jalan raya.

“Kejadian yang berlaku tiga tahun lalu cukup menyentuh hati saya. Melihat sendiri bagaimana seorang isteri berkorban selepas suaminya mengalami kecacatan kekal di kaki.

“Saya tidak tahu sama ada mereka tahu lagu ini ditulis untuk mereka. Tetapi dalam waktu sekarang saya lebih suka menulis lagu tentang apa yang saya lalui dan kisah yang benar-benar berlaku,” katanya lagi.

Sementara itu ditanya mengenai hubungannya dengan gitaris kumpulan Hujan, AG Coco jelasnya, hubungan mereka masih baik.

Enggan menjelaskan di sebalik kenyataan yang dikongsinya sebelum ini yang membayangkan AG bakal meninggalkan kumpulan tersebut, kata Noh, semuanya akan didedahkan pada persembahan mereka di Singapura pada Jun nanti.

“Maaf saya tidak boleh komen mengenai hal ini. Rasanya lebih senang jika kenyataan ini keluar dari mulut AG sendiri. Kenyataan rasmi juga hanya akan dibuat pada 30 Jun ini pada persembahan yang akan menggabungkan Hujan dan Padi di Singapura.

“Apa yang boleh saya kongsi, Hujan memang dalam pembikinan album baharu yang dijangka menemui peminat tidak lama lagi.

“AG sendiri memang sibuk menguruskan kumpulan Masdo, jadi kami beri ruang kepada mereka untuk bergerak dahulu,” jelasnya.