Memulakan pertunjukkan pukul 8.45 malam, kemunculan vokalisnya, Ariel di pentas utama berjaya mencetus keriuhan dan tepukan gemuruh.

Biar hanya di sebalik layar untuk aksi pembuka tirai, nyata pesona maskulin yang dimiliki lelaki berusia 36 tahun itu membuatkan ramai peminat wanita gila bayang, tidak pernah berhenti daripada berulang kali menyebut, “Ariel, Ariel, Ariel.”

“Kalau berpisah selama sebulan pun sudah cukup untuk membuatkan rasa rindu, inikan pula selepas bertahun-tahun,” kata Ariel dan disambut tepukan gemuruh peminat.

Kali terakhir Ariel dan Noah menjayakan konsert berskala besar adalah untuk Konsert Tentang Bahtera pada 2012 di KL Life Centre, lantas kehadiran mereka pada malam Sabtu lalu dilihat sebagai pengubat kerinduan terhadap kumpulan yang dianggotai Uki, Luckman, David selain Ariel.

Pun begitu, dalam keasyikkan melayan betapa rancaknya muzik alunan Noah, terdapat juga peminat yang kecewa apabila kumpulan tersebut masih dibayangi Peterpan.

Barangkali, peminat mengharapkan salam perkenalan menerusi seleksi lagu-lagu baharu Noah yang baru sahaja melancarkan karya mereka pada awal tahun ini.

Dari sudut berbeza, ada juga pandangan yang mengatakan mereka sangat berpuas hati dengan konsert berdurasi 90 minit itu.

Masakan tidak, Noah seakan-akan mengimbas semula zaman kegemilangan Peterpan menerusi lagu-lagu popular nyanyian kumpulan itu suatu ketika dahulu.

Membuka tirai konsert dengan dua buah lagu hits, Seperti Kemarin dan Topeng, Noah menghiburkan penonton tanpa henti sepanjang sejam setengah konsert berlangsung. Lagu Hidup Untukmu Mati Tanpamu dan lagu berhantu Ada Apa Denganmu yang disampaikan selepas itu juga memberikan keterujaan luar biasa kepada peminat tatkala mereka bersemangat menyanyi bersama-sama.

Tidak berhenti di situ, rasa kangen (rindu) peminat terhadap Peterpan semakin membuak-buak apabila lagu-lagu seperti Semua Tentang Kita dan Mungkin Nanti dialunkan sehingga menggamatkan seluruh stadium.

Lebih menarik, Ariel sempat menjemput seorang peminat bertuah menyanyi dengannya.

Bukan itu sahaja, kemunculan Altimet bergandingan dengan Noah menyampaikan lagu medley Khayalan Tingkat Tinggi diadun secara remix dengan lagu popularnya, Amboi turut menarik perhatian.

Sebanyak 17 buah lagu dipersembah tanpa henti oleh Noah dan Ariel masih kelihatan bertenaga di pentas termasuk lagu Langit Tak Mendengar, Separuh Aku, Bintang Di Surga, Jika Engkau, Di Atas Normal dan Yang Terdalam dan Ku Katakan Dengan Indah.

Lagu Tak Bisakah dan Cobalah Mengerti menjadi taruhan Noah sebelum melabuhkan tirai.

Sejujurnya, walaupun masih mempertaruh rantaian lagu-lagu popular Peterpan, Noah tetap mempunyai tarikan tersendiri selepas penjenamaan semula kumpulan tersebut.

Meskipun cuba memberi nafas baharu dalam muzik mereka, Ariel dalam temu bual terdahulu memberitahu, dia tidak kisah apabila peminat di Malaysia masih menganggap Noah salin tak tumpah seperti Peterpan kerana kedua-dua band itu asalnya daripada anggota kumpulan yang sama.