Mengakui pernah mengangkat bendera putih untuk watak-watak berat, pelakon, Nina Iskandar bagaimana pun tidak mahu menolak rezeki seandainya ditawarkan watak sebegitu bersilih ganti.

Baginya, selagi kudrat dan minat sebagai pelakon masih membara, dia mahu memberi sepenuh jiwa untuk memenuhi kehendak bukan sahaja penerbit drama malah peminat juga diutamakan.

Bukan tidak ada peminat yang mula menyuarakan persoalan mengapa dia asyik melakonkan watak sebegitu, namun Nina menganggap itu sebagai kayu pengukur untuk dia melebar sayap sebagai pelakon.

“Pernah juga rasa macam penat sangat menangis. Saya sering kali ditawarkan watak berat dan kadang-kadang ada rasa mahu rehat sebentar. Cuma kalau sudah tertulis itu rezeki, takkan saya hendak tolak.

“Lagipun saya menjaga hubungan dengan produser dan pengarah. Kalau tolak, apa pula kata mereka nanti. Cuma mungkin saya akan berehat buat sementara waktu.

“Sekarang memang tak boleh ambil cuti. Kerja bersilih ganti dan setakat ini, memang semua watak memerlukan saya untuk menangis dan memberi jiwa serta emosi yang mendalam,” kata anak kelahiran Brunei ini.

Tidak menolak sekiranya peminat melabelkan dia sebagai ratu air mata menggantikan pelakon hebat seperti Wan Maimunah, dia mengharapkan agar selepas ini watak yang lebih variasi ditawarkan.

“Ramai peminat pernah menyuarakan permintaan supaya saya melakonkan watak yang berbeza. Saya pun mahu menonjolkan sisi lain yang mungkin ramai yang tidak pernah tonton.

“Kalau boleh, saya hendak watak seorang kurang upaya atau perempuan yang mengalami kemurungan serta masalah psikologi. Saya mahu mencabar diri sendiri dengan watak sebegitu.

“Tapi buat masa sekarang, saya belum terbuka untuk melakonkan watak aksi. Namun andai ditawarkan watak aksi, saya akan pertimbang. Kena tengok skrip dan jalan cerita dahulu,” kata pelakon berusia 27 tahun ini.

Berzikir tenangkan hati

MENGAKUI pernah terkesan dan terbawa-bawa watak dalam kehidupan seharian, Nina sentiasa mengamalkan zikir untuk menjauhkan diri daripada terikut-ikut emosi watak lakonannya.

Takut jika dia mengalami kemurungan kerana sering kali memainkan watak emosi dan berat, setakat ini pelakon yang popular dengan drama Andainya Takdir ini masih boleh bertahan dan kuat.

“Memang saya risau apabila kita terlalu bermain dengan emosi lama-kelamaan kita terbawa-bawa dengan karakter itu. Saya kadang-kadang selepas pengarah cakap ‘cut’ pun saya masih menangis. Tak tahu kenapa.

“Sebab itu saya selalu berzikir untuk tenangkan hati. Sentiasa ingatkan diri untuk bezakan sama ada lakonan atau realiti. Saya sampai penat sehingga tidak bercakap dengan kru atau pelakon lain di set penggambaran.

“Sebelum tidur saya akan banyakkan doa supaya diri kuat. Kalau tidak, saya akan ‘terjatuh’ dalam emosi itu. Boleh jadi murung tau. Tapi kena juga teruskan lakonan, sudah namanya kerja, kan?” katanya.

Berbicara soal kerjaya, drama Isteri Dalam Sangkar yang menggandingkan Nina dan Azrel Ismail yang sedang ditayangkan di Unifi TV semakin mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat.

Nina berkata, watak sebagai Aisyah sememangnya cukup meruntun jiwa dan emosi apabila dia terpaksa berdepan dengan pelbagai ujian hidup termasuk kekejaman keluarga terhadapnya serta suami yang tidak menyintai dirinya.

“Mula-mula saya tidak mahu terima watak ini kerana apabila baca sinopsis dan skrip, saya rasa watak Aishah ini terlalu berat. Saya pernah meminta agar pihak produksi mencari pelakon lain sebagai ganti.

“Kalau rasa watak Fatihah dalam Andainya Takdir sudah cukup kasihan, Aishah ini lebih mencabar. Tapi saya perlu kuatkan diri dan semangat untuk melakonkan watak tersebut,” katanya yang bakal bergandingan dengan Fahrin Ahmad dalam drama Samarinda, Setelah Cinta Itu Pergi.