Bermula dengan membuat persembahan di belakang kediaman orang, beraksi di hadapan puluhan ribu peminat, dibayar dan tidak diberi bayaran termasuk ketika membuat persembahan di Australia dan Eropah, Flop Poppy masih utuh menyatu. Mereka kekal sebagai sebuah band meski ada yang menganggap kumpulan ini telah lama berkubur.

Bak kata vokalisnya, Andy, andai punya duit berjuta mahupun diberi peluang untuk menaiki mesin masa, semua itu tidak akan membuatkan mereka mampu mengulangi zaman kegemilangan itu.

Segalanya disimpan rapi sebagai sebuah nostalgia berharga, masing-masing akui, di usia sekarang ini kebanyakan masa mereka sering disapa perasaan rindu.

“Rindu itu lebih kepada rasa mahu beraksi bersama. Kami tak rindu zaman kami dianggap band yang meletup atau apa tetapi lebih kepada suasana ketika kami sering menghabiskan masa bersama.

“Tak kisahlah di bilik studio atauketika kami lepak di restoran mamak, semua tahu walau di mana pun berada, kami memang jenis selamba dan menjadi diri sendiri.

“Tak fikir pun status artis atau tidak. Apa yang kami tahu, zaman itu Flop Poppy cuma nak buat persembahan dan hasilkan muzik,” katanya.

Menganggap hubungan kelima-lima mereka sudah seperti adik-beradik, Andy juga berbangga dengan kematangan band ini yang baginya jelas terlihat bukan dari segi usia namun energi masing-masing tetap bagai di waktu muda.

Mereka bertuah kerana era 80-an banyak dikuasai band muzik dan Flop Poppy adalah antara band tempatan yang banyak belajar daripada orang lama yang memberi tambah nilai buat band ini.

“Kami banyak dipengaruhi oleh band-band era itu yang mana satu perkara yang sampai sekarang kami ingat, jangan cari populariti.

“Kami banyak didatangi budak-budak baru dalam industri yang minta nasihat dan tunjuk ajar. Bahkan ada antaranya anggap bila orang lama kembali semula beraksi dalam dunia seni, mereka bimbang tiada peluang.

“Bagi saya, kalau rasa hati macam tisu, jangan main muziklah! Kalau fikir nak glamor, nak dikenali, nak popular, memang tak akan menjadi. Beraksilah dengan ikhlas dan dari jiwa atau sekurang-kurangnya simpan ego dan selalu tanam niat mahu perbaiki diri,” kata Andy lagi.