Jelasnya walaupun bukan mudah untuk melalui kehidupan yang sentiasa menjadi  perhatian, namun sudah sampai masanya dia menerima setiap dugaan dengan hati yang terbuka selain mengakui kesilapan lalu sebagai jalan untuk menjadi lebih dewasa.

“Apa yang berlaku ke atas diri saya sebelum ini sudah tertulis dan saya reda untuk melalui kontroversi ini. Saya bersyukur untuk melaluinya  dan dapat bertahan sehingga kini.

“Apa yang lebih penting bagaimana kontroversi ini mengajar saya untuk jadi lebih matang dalam mengejar cita-cita sebagai penyanyi,” katanya ringkas.

Ternyata impian menjadi seorang penyanyi tidak sekadar hadir dengan usaha keras. Dalam tempoh ini beritahu Haqiem, 20, dia sudah merasai bagaimana populariti juga menjadikannya tumpuan “haters” yang mencari  kesalahan. 

Mengakui ini adalah suatu tekanan buatnya, namun dia sudah tidak mahu lagi ambil peduli.

“Ini adalah harga yang perlu saya bayar untuk berada dalam industri ini.  Saya tidak akan merungut sebab menjadi penyanyi adalah sesuatu yang pernah saya impikan sewaktu kecil dahulu. 

“Bukan mudah untuk laluinya, pada awalnya ini adalah suatu tekanan untuk saya. Namun, mengambil kira sokongan keluarga dan peminat, rasanya ini adalah waktu untuk saya terus bangkit tanpa mempedulikan mereka yang hanya ingin menjatuhkan saya,” kongsinya.

Yakin perjalanan seninya masih terlalu panjang, bagi Haqiem antara pelajaran paling mahal yang difahaminya adalah untuk sentiasa membetulkan niat sebagai seorang penyanyi. Malah dia juga tidak menolak mempunyai peminat yang setia adalah rezeki paling indah.

“Tidak kisah berada dalam bidang apa jua, paling penting adalah niat seseorang itu. Ikutkan saya sendiri masih tidak percaya dengan rezeki yang diberi Allah dalam bidang ini.

“Ternyata apa yang diperoleh ini bukan sekadar untuk saya nikmatinya seorang, tetapi bersama keluarga dan peminat yang tidak putus-putus memberi sokongan ketika saya diduga. Jujurnya saya adalah seorang yang sangat bertuah,”  katanya.