Menurut Niena, watak Husna dikembangkan dengan begitu baik oleh pengarah dan penulis skrip sehingga mampu meninggalkan impak besar terhadap karier lakonannya yang mula dikenali menerusi drama Sayangku Kapten Mukhriz.

“Semua ini adalah rezeki anak yang saya sedang kandungkan. Sewaktu penggambaran drama tersebut, saya baru sahaja hamil.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar sehinggalah tamat penggambaran. Bayi ini membawa tuah dalam membuka pintu rezeki saya seluas-luasnya,” ujar Niena yang bernikah dengan Aliff Firdaus Abdul Hadi pada 1 Februari lalu.

Terdahulu, lakonan Niena dalam karya terbitan Suhan Movies & Trading itu heboh diperkatakan khalayak sehingga mengundang rasa benci dalam kalangan penonton setia drama berkenaan.

Malah dia juga mengakui, menerima maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk ada sesetengah individu menggelarnya dengan julukan negatif.

Dalam pada itu, memasuki kandungannya yang berusia enam bulan, Niena memperlahankan rentak seni demi menjaga kesihatan dirinya dan bayi.

“Setakat ini keadaan bayi sihat-sihat sahaja. Buat masa sekarang, saya tolak dulu tawaran lain untuk memastikan punya rehat yang cukup.

“Tak dinafikan, pada saat ini saya cepat semput dan penat. Jadi saya kena banyak berehat. Selalunya saya tidur sahaja di rumah jika tiada apa-apa aktiviti,” ujar Niena.

Justeru, Niena memohon agar peminatnya mendoakan yang baik-baik saja menjelang detik kelahiran anak sulungnya. - UTUSAN ONLINE