Jika ditatap, gadis berusia 27 tahun ini masih kekal rendah hati. Tiada langsung riak jelik mahupun lelah, biarpun peminat yang beratur untuk mengambil gambar boleh tahan panjangnya.

Bersua bicara dengan anak kelahiran Kelantan ini, santunnya masih sama. Soalan yang ditanya biarpun panas terasa, dia tidak langsung melenting. Tetap dijawab tanpa ada aura amarah.

Bakal mengerjakan haji 5 September depan, hajat di hati cuba dikorek. Adakah berkisar tentang jodoh, Neelofa tidak menafikannya. Namun dia tahu, banyak lagi doa yang bakal dipanjat di Tanah Suci Mekah.

“Sesiapa sahaja yang berpeluang ke sana mengerjakan haji, pasti pelbagai niat dipasang. Jodoh salah satunya. Rugi kalau saya lepaskan peluang yang sukar untuk kita peroleh, bukan senang kan?

“Tapi tidaklah pasal jodoh semata-mata, kita doa untuk kelangsungan hidup. Perniagaan, kesihatan, keluarga dan semua benda kalau boleh kita nak doa dekat sana, tapi yang penting niat untuk beribadah,” katanya.

Bakal bergelar hajah pada usia yang boleh dikatakan muda, pengacara ini tidak ralat memegang gelaran itu. Baginya, perasaan bangga dan terharu perlu ada dalam dirinya kerana diberi peluang oleh Yang Maha Esa untuk mengerjakan haji.

Biarpun ada sosek-sosek yang riuh mengaitkan nama pelakon Lemak Kampung Santan ini dengan cerita rayuan haji seorang artis yang tidak dilulus, Neelofa ternyata langsung tidak mengendahkannya.

Baginya, lebih baik fokus dan fikirannya tertumpu kepada ibadah yang bakal dikerjakan kelak. Tidak usah dia membazir waktu dan tenaga mendengar suara-suara sumbang yang entah dari mana arahnya.

Namun, ada perkara yang menjadi kemusykilan di benak fikiran saya. Bagaimana reaksi ‘pengkritik maya’ apabila Neelofa mula bergelar hajah kelak? Adakah setiap gerak-geri, tingkah laku dan pakaiannya menjadi sasaran?

Sementelah, kita dapat melihat ramai artis seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Nabil Ahmad sudah merasakan tempias ustazah dan ustaz segera ini. Adakah Neelofa bersedia untuk diterjah dengan pelbagai persepsi?

“Saya rasa itu tidak perlu difikirkan. Sekarang ini pun, banyak yang sudah mengkritik. Kita tidak akan dapat memuaskan hati semua orang. Apa pun yang kita lakukan, pasti ada mata yang memandangnya salah.

“Jadi kenapa saya perlu bazir masa memikirkan tentang itu semua. Saya serah bulat-bulat kepada Allah. Tawakal dan saya tahu, Allah maha pengampun. Siapa kita mahu menghukum sesama manusia,” kata pelakon Kau Yang Terindah ini.

Jelas membuktikan pelakon ini sudah melalui pelbagai cabaran. Populariti yang diraih bukan senang jalannya. Ada kala dia terjatuh, lantas bangkit pungut kembali semangat kental.