Mendepani perkara ini, Khai Bahar tidak terkecuali terkena tempias. Khai dengan semberono dimasukkan dalam kategori artis yang ‘bijak’ menggunakan peminatnya sendiri.

Mengakui mempunyai hubungan sangat baik dengan peminat, pemuda ini bagaimanapun menepis dakwaan tersebut awal-awal lagi. Menganggap hubungan antara mereka akrab, Khai tidak pernah berniat untuk memanipulasi hubungan tersebut.

“Kami memang baik, saya layan mereka dengan sepenuh hati, sama macam mereka melayan saya dengan baik. Tetapi perlu ingat, ia tidaklah sampai ke tahap memanipulasi. Kalau ada yang mendakwa saya menggunakan peminat untuk kelangsungan kerjaya seni, itu tak betul. Saya bukan manusia sebegitu.

“Pun begitu, saya sangat hargai orang yang sayangkan bakat saya. Mereka ini sering mengundi lagu saya di kebanyakan stesen radio dan saya sangat berterima kasih. Menariknya, mereka buat tanpa paksaan dan atas kerelaan sendiri juga. Tapi janganlah kata saya meminta memanipulasi mereka untuk menaikkan lagu sendiri,” jelasnya lagi.

Dakwaan tersebut timbul tatkala melihatkan kebanyakan lagu nyanyian Khai mendapat putaran tinggi di kebanyakan stesen radio. Seperti yang diketahui stesen radio mahukan peminat mengundi dan meminta sesebuah lagu sebelum diputarkan.

Apabila kesemua lagu Khai dimainkan maka timbul dakwaan dia berbuat baik dengan peminat semata-mata mahukan lagunya mendapat putaran tertinggi daripada radio.

“Kebanyakan peminat bukan orang muda sahaja sebaliknya ada yang terdiri daripada kaum ibu. Mana mungkin saya mahu memanipulasi mereka untuk kepentingan sendiri. Hubungan kami baik berlandaskan antara artis dan peminat.

“Apa sahaja yang mereka lakukan untuk kerjaya seni saya, hanya ucapan terima kasih sahaja yang mampu saya katakan. Selagi saya mampu melayan mereka, saya akan layan,” katanya yang mempunyai enam kelab peminat berbeza termasuklah di Singapura dan Brunei.

Menyedari kuasa yang ada pada peminat besar membuatkan Khai bersyukur kerana mereka terus memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi. Dalam pada itu dia mendedahkan pernah diselubungi perasaan takut apabila berhadapan dengan peminat psiko!

Ada dalam kalangan peminatnya yang tidak berhenti-henti menghantar mesej melalui Instagram dengan kata-kata yang menyeramkan termasuklah mahu berkahwin dengan dirinya hampir setiap hari.

“Saya sebenarnya seram dengan peminat yang macam ni sebab mereka tidak henti-henti menghantar mesej mengharapkan jodoh bersama. Kalau di layan nanti dikatakan memberikan harapan palsu.

“Kalau tak dilayan pula dituduh benda lain. Berhadapan dengan peminat terlebih over acting ni membuatkan saya takut!” katanya.

Peristiwa diganggu oleh peminat yang sama hampir setiap hari melalui kotak mesej di Instagram masih kekal dalam ingatan. Sudah tentulah dia peminat wanita. Beraninya si peminat sampaikan tanpa segan silu mengajaknya berkahwin.

Tidak pernah melayan undangan untuk ‘berlebih-lebihan’. “Saya takutlah! Bimbang juga kita dituduh memberi harapan palsu, nanti wujud lebih banyak konflik.”

Ada dalam kalangan peminat yang sering mengajaknya bertemu dan beramah mesra di luar agenda kelab. Dia biasanya akan menolak dan lebih suka beramah mesra beramai-ramai, menerusi aktiviti pertemuan kelab sahaja. “Saya tidak mahu menjadi terlalu rapat dengan mereka. Bila rapat dan tidak mampu memenuhi keinginan mereka, peminat juga yang akan rasa sakit hati.”