Menerusi laman Instagramnya, Nedim menjelaskan bahawa anaknya, Mohamed Neqayl Nazri Aziz Nedim atau dipanggil Ney Ney yang baru berusia dua hari itu belum mempunyai sebarang akaun di laman sosial.

“Alhamdulillah Ney Ney sihat dan sempurna.

“Untuk pengetahuan semua, anak saya tidak mempunyai akaun Instagram atau apa sahaja akaun laman sosial yang lain,” kongsinya.

Sementara itu melalui pemerhatian Utusan Online terdapat beberapa lagi akaun palsu yang sudah diwujudkan melalui nama anak pasangan itu.

Pada waktu yang sama, pasangan tersebut terus dihujani ucapan tahniah daripada peminat mereka.

Selain berkongsi rasa gembira, ada yang turut memuji sikap Nedim yang sentiasa bersama-sama Nora sepanjang proses bersalin semalam.

Pasangan tersebut berkahwin pada 30 Mac tahun lalu dan ini adalah perkahwinan kedua buat mereka.

Nora sebelum ini pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli dan mereka mempunyai seorang anak iaitu Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram yang kini berusia sembilan tahun.

Nedim juga pernah berkahwin sebelum bercerai pada 2013. Menerusi perkahwinan itu Nedim dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Nedrin yang kini berusia enam tahun. - UTUSAN ONLINE