Ekoran populariti yang dikecapi lagu berkenaan membuatkan beberapa stesen radio dan televisyen mula mengundang penyanyinya, Ikhwan Fatanna, 27, bagi menjayakan program masing-masing.

Usai mengetahui gerangan pemilik suara di sebalik lagu itu, rata-rata peminat industri muzik tanah air terkejut kerana pada awalnya menyangka karya ciptaan Mohaid Rosli, Ayden Ali, Zel dan Ikhwan itu dinyanyikan oleh penyanyi wanita.

“Saya sudah menjangkakan situasi ini kerana pernah berhadapan dengan tanggapan awal pendengar menerusi beberapa buah lagu yang dinyanyikan sebelum ini.

“Cuma waktu itu single tersebut tidak begitu rancak dimainkan di radio. Jadi tidak timbul sebarang isu. Kali ini apabila Bismillah mendapat sambutan baik pendengar, barulah mula diperkatakan.

“Bagaimanapun, saya tidak berkecil hati dengan tanggapan tersebut. Disebabkan kekeliruan pendengar, mereka mula mengenali saya. Alhamdulillah, ada hikmahnya,” ujar pemuda kelahiran Ampang, Kuala Lumpur itu.

Menurutnya, memiliki suara yang nipis dan halus mungkin menyebabkan kekeliruan tersebut berlaku tetapi dia menerima anugerah kurniaan Allah dengan hati terbuka.

Bersyukur lagu nyanyiannya mendapat maklum balas yang positif, Ikhwan berharap karier seni yang diceburi sejak beberapa tahun lalu terus berkembang maju.

Menyimpan hasrat untuk bekerjasama dengan komposer tersohor Datuk M. Nasir, penyanyi yang gemar menyanyikan lagu berunsur nasihat itu berdoa agar impian tersebut dapat dicapai.

Aktif sebagai komposer, dia juga menggubah lagu untuk penyanyi lain selain dirinya dan dalam perancangan untuk menghasilkan single seterusnya.

Sebarang tempahan untuk undangan nyanyian, boleh hubungi terus menerusi akaun Intagram miliknya, @ikhwanfatanna.- UTUSAN ONLINE