Ini kerana dia dan Qi adalah antara pasangan selebriti yang dinanti-nanti oleh peminat untuk menyaksikan kedua-duanya bersatu dalam ikatan perkahwinan setelah hampir tiga tahun bercinta.

Dia cuma tersenyum tatkala diaju pertanyaan sama ada sudah bersedia mengorak langkah ke satu fasa baru dalam hubungan seiring dengan lembaran tahun baru ini.

Mengakui lebih senang menyerahkan hal itu kepada pihak lelaki, kata Nelydia, dia tidak pernah memaksa Qi untuk segera melangkah ke fasa baru dalam hubungan mereka meski itu adalah impiannya.

“Kalau ada berita baik saya tentu akan kongsikan dengan semua orang. Tetapi untuk masa ini belum lagi. Saya lebih suka untuk menyerahkan segalanya pada dia sebab dia pihak lelaki.

“Sebagai perempuan, tak manis pula untuk saya katakan lebih-lebih. Perkara ini terpulang pada dia. Saya dengan dia masing-masing memahami dan tidak saling mendesak,” katanya.

Dalam masa yang sama, kata Nelydia, dia tidak mahu membelakangkan keluarga maka dalam hal perkahwinan amat penting untuk sesebuah hubungan itu mendapat restu daripada kedua-dua orang tua.

Bagi Nelydia, jika keluarga juga sudah memberikan lampu hijau buat mereka, maka tidak ada masalah di pihaknya untuk meneruskan langkah ke alam perkahwinan.

“Sekarang ni saya serah saja pada orang tua. Kalau mereka kata boleh dan dah ada perbincangan, insya-Allah, berita baik akan saya kongsikan dengan semua orang. Ada jodoh, kita akan teruskan.

“Saya lebih suka jika hubungan ini berlangsung dalam suasana yang tiada paksa-paksa dan kami sama-sama saling memahami,” katanya.

Mengenai azam dan sasaran tahun baru, bagi Nelydia, dia tidak hanya meletakkan perkahwinan sebagai perkara utama tetapi ia juga meliputi karier dan perniagaannya yang telah dimulakan sejak tahun lalu.

Mahu melakukan lebih banyak perubahan pada tahun ini terutama memperbaiki kualiti lakonannya, kata Nelydia, tidak seperti orang lain, dia cuma mahu meneruskan apa yang masih belum dicapai pada tahun lepas.

“Contohnya, saya masih belum dapat membawa orang tua saya ke Mekah untuk menunaikan umrah.

“Tapi dalam masa yang sama saya bersyukur kerana saya dapat lihat banyak perubahan dari satu peringkat ke satu peringkat pada diri saya.

“Sudah tentu tak semuanya berlaku dalam suasana yang indah. Ada naik turunnya, tetapi sekurang-kurangnya saya tahu banyak antaranya yang positif dan mematangkan. Saya dapat rasakan, diri saya lebih bertanggungjawab kini dan lebih matang,” katanya.

Menyimpan hasrat untuk lebih banyak melancong pada tahun ini, kata Nelydia, dia bagaimanapun tahu perlu meletak keseimbangan dalam soal kerjaya dan perniagaannya yang diusahakan bersama kakaknya, Uqasha Senrose di bawah jenama Secrets of Senrose.

Bersyukur kerana perniagaannya kini semakin berkembang dan mendapat sambutan daripada pengguna, Nelydia berbangga kerana usahanya itu untuk berkongsi rahsia kecantikan bersama peminat akhirnya tercapai.

“Kalau boleh, tahun ini saya nak mengorak langkah lebih lagi dalam dunia bisnes. Sekali pun saya katakan yang saya mahu lebih maju dalam bidang perniagaan, ia tidak bermaksud saya mahu berhenti terus dari dunia lakonan.

“Lakonan ini dah jadi macam periuk nasi saya. Ia masih kekal nombor satu dalam hati saya selagi orang masih mahu saya berlakon dan diberi kepercayaan.

“Mungkin saya akan perlahankan sedikit jadual saya dalam aktiviti lakonan sebab nak seimbangkan dengan bisnes. Tetapi saya tak pernah terniat untuk berhenti berlakon pun,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai hubungan kakaknya, Uqasha dengan Syafiq Kyle, kata Nelydia, dia tidak mengambil tahu mengenainya.

Enggan masuk campur, kata Nelydia, dia tahu Uqasha sedang berkawan dengan pelakon tersebut dan mendoakan yang terbaik buat kakaknya itu.

Foto NOORADZRENE MOHD NOOR

saya lebih suka jika hubungan ini berlangsung dalam suasana yang relaks, tiada paksa-paksaan