Mula diumumkan sebagai pemenang Fesyen Meletop, Neelofa sekali lagi naik ke pentas untuk menerima trofi Pelakon TV Meletop di samping drama lakonannya, Red Velvet menang kategori Drama Meletop.

Sementara itu, menepati ramalan, penangan lagu berhantu Bayang membolehkan penyanyi remaja, Khai Bahar unggul mendominasi kategori Penyanyi Meletop dan Lagu Meletop.

Malah, kedua-dua selebriti itu turut membolot trofi utama, Top Top Meletop AME 2018 bagi kategori lelaki dan wanita.

Biarpun tidak hadir, Nur Fazura tetap unggul memenangi dua trofi menerusi filem pecah panggung lakonannya, J Revolusi yang melayakkannya memenangi Bintang Filem Meletop dan Filem Meletop.

Tidak ketinggalan, Nabil Ahmad dipilih sebagai Hos Meletop, merampas takhta milik pasangan pengacaranya, Neelofa yang memenangi edisi terdahulu.

Sementara itu, heroin siri Titian Cinta, Farah Nabilah membuktikan populariti drama rantaian tersebut memberi kelebihan kepadanya untuk unggul sebagai Artis Baharu Meletop.

Dalam pada itu, penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan regu duetnya, Faizal Tahir menang kategori Duo Meletop menerusi lagu nyanyian mereka, Dirgahayu.

Bagi segmen Anugerah Khas, personaliti RTM, Datuk Harjit Singh Hullon diberi penghargaan atas baktinya selaku penyampai berita paling lama berkhidmat dalam dunia penyiaran tanah air.

Antara pemenang lain ialah Arif Jiwa Asyraf (Si Cilik Meletop), Johan (Penyampai Radio Meletop) dan Zizan Razak (Artis Lawak Meletop). - UTUSAN ONLINE