Pencapaian membanggakan itu sekali gus melakar sejarah tersendiri apabila beliau muncul sebagai artis Malaysia pertama dijemput untuk memberikan idea dan pendapatnya di persidangan dunia yang berprestij itu.

Neelofa, 27, memberitahu, dia akan bertolak ke New York pada 14 September ini bagi menghadiri persidangan tersebut yang bakal berlangsung keesokannya, 15 Sep­tember.

“Alhamdulillah, peluang ini tidak akan saya lepaskan, malah saya akan gunakan dengan sebaik-baik mungkin untuk me­nyampaikan misi dan suara anak-anak Malaysia.

“Ini adalah satu peluang yang mungkin hadir sekali seumur hidup sahaja dan sudah tentu misi saya adalah untuk memastikan kita semua, khususnya anak muda Malaysia didengari di persada dunia,” katanya yang akan menyampaikan idea yang merujuk kepada tajuk Kepelbagaian Budaya dan Kuasa Dunia Kreatif.

Dalam temubual secara eksklusif dengan Mingguan Malaysia, di sini hari ini, Neelofa meng­anggap pemilihan ini sebagai satu tanggungjawab yang agak mencabar dirinya.

Neelofa sebelum ini menghadiri program persidangan belia anjuran PBB di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Difahamkan, pelakon Suri Hati Mr. Pilot itu menerima jemputan daripada PBB selepas membuktikan kredibiliti dan mempunyai ciri-ciri belia dinamik semasa menghadiri persidangan belia itu baru- baru ini.

Usahawan yang juga pengasas Naelofar Hijab ini juga bakal bertolak ke Milan selepas itu bagi menghadiri minggu fesyen istimewa Swarovski.

Neelofa juga bakal bertolak ke Boston pada Oktober depan untuk menjalani program istimewa bersama majalah antarabangsa Forbes selepas dipilih sebagai salah seorang 300 individu yang tersenarai dalam Forbes 30 Under 30 Asia 2017.

Pengacara itu ketika ini sedang sibuk menjalani penggambaran drama siri baharu Red Velvet yang menampilkan gandingan serasi bersama pelakon lelaki popular, Alif Satar.

Dalam perkembangan lain, Neelofa juga menjadi artis Malaysia paling banyak pengikut di Instagram dengan berjaya mengumpul lima juta pengikut mengatasi pelakon, Nora Danish dengan 4.9 juta pengikut.