Sekarang ini dia melupakan seketika bidang lakonan kerana menyambung pengajian di luar negara sejak hampir setahun yang lalu di The Chinese University of Hong Kong (CUHK), Hong Kong.

“Saya mendaftar di universiti CUHK sejak 1 Ogos tahun lalu untuk melanjutkan pengajian doktor falsafah (PhD) dalam bidang Imaging & Interventional Radiology.

“Pengajian saya di sini adalah atas tajaan CUHK selama empat tahun. Untuk tahun lepas, CUHK memperuntuk empat orang sahaja yang layak menerima biasiswa bagi kos yang saya ambil ini.

“Alhamdulillah, saya merupakan salah seorang penerima biasiswa itu. Dan saya merupakan satu-satunya pelajar tunggal dari Malaysia yang menerima biasiswa untuk bidang tersebut,” katanya kepada Mega HITS baru-baru ini.

Nazmi yang meraikan sambutan hari lahir ke-29 pada 12 Mac lalu berkata, setiap hari dia akan berada di Prince of Wales Hospital, Shatin, Hong Kong bagi melakukan kerja-kerja penyelidikan di situ.

Jelas pelakon drama Seindah Takdir Cinta dan Amsyar itu, rutin kehidupannya bermula seawal pukul 9 pagi dan berakhir pada 6 petang.

“Biasalah kehidupan sebagai pelajar, masa banyak dihabiskan di universiti atau di hospital. Kadang-kadang kelas sampai ke malam. Tak ada ruang untuk ‘main-main’ sebab untuk masuk ke sini bukan mudah.

“Saya belajar di sini pun atas tajaan biasiswa oleh CUHK. Antara kriteria yang mereka tengok adalah pencapaian akademik dan sokongan daripada para pensyarah sewaktu saya belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM),” kata pemegang ijazah Sarjana Pengimejan Molekul (Perubatan Nuklear) ini.

Sesuaikan diri

Dia yang mengakui mempelajari bahasa Kantonis untuk kemudahan ketika di Hong Kong memberitahu, dua bulan pertama berada di universiti tersebut, dia sukar untuk menyesuaikan diri dengan sistem pendidikan di situ.

“Kalau tak kuat semangat, memang mahu saja saya berhenti separuh jalan.

“Untuk memperoleh ijazah kedoktoran tidaklah semudah yang diucapkan. Semua yang dibuat mesti sendirian. Kita yang tentukan sendiri hala tuju penyelidikan.

“Kalau nak penyelidikan kita sentiasa dikemas kini dan selesai mengikut waktu yang ditetapkan, kita kena disiplin.

“Selain itu pengurusan waktu mesti cekap. Profesor hanya beri tunjuk ajar pada peringkat awal saja, lepas itu pandai-pandailah kita buat sendiri.

“Awal-awal dulu terkontang-kanting juga saya sebab semua perkara nak cepat. Bayangkan hari ini profesor beri tugasan, esok dia nak tengok.

“Alhamdulillah, sekarang ini saya sudah dapat sesuaikan diri dengan sistem pendidikan dan masyarakat sekitar Hong Kong,” katanya.

Mengakui merindukan bidang lakonan, Nazmi nekad untuk menghabiskan pengajiannya terlebih dahulu sebelum kembali aktif dalam seni.

Malah sehingga kini dia masih berhubungan dengan beberapa pelakon seperti Mahmud Ali Bashah, Jasmine Mohamed Ashraff, Ainina Ahmad B, Dilla Ahmad, Mak Wann, Anne Abdullah, Aisyah Atan, Jaslin Puasa dan Shakilla Khoriri.

Katanya, kenangan berlakon dengan barisan artis berkenaan tidak dapat dilupakan dan jika ada kesempatan pada masa akan datang, dia akan terus aktif dalam bidang seni.

“Semuanya bergantung kepada keadaan. Apa-apapun kena tunggu saya habis belajar dulu. Disebabkan saya pemegang biasiswa, jadi habis pengajian kenalah kerja,” jelasnya. - KHADIJAH IBRAHIM