Berkata kepada Utusan Online, hero telefilem Cinta Bersegi-Segi tersebut bagaimanapun beranggapan semua itu adalah asam garam dunia glamor yang tidak lekang dengan bermacam-macam dugaan.

“Sebelum menceburi bidang ini, saya sendiri pernah membaca kisah pelakon lelaki yang ditawar menjadi ‘toy boy’ atau lelaki simpanan kepada golongan wanita yang kesepian.

“Lebih menjengkelkan, ada juga kaum Adam yang membuat tawaran sedemikian demi kepuasan nafsu semata-mata,” katanya yang pernah membintangi drama Abang Bomba I Love You itu.

Pun begitu, anak watan Pulau Pinang itu memberitahu, dia cuba mengelak secara baik daripada terus terjerumus ke kancah maksiat dan tidak menyimpan sebarang dendam terhadap mereka.

Bakal tampil dalam drama Cinta Sang Rembulan terbitan Global Station Sdn. Bhd., Nazirul tidak menjangka kemenangannya menerusi pertandingan Mister Planet Nation Malaysia 2016 (MPM2016) sedikit sebanyak membuka laluan kepadanya untuk terus meneroka bidang lakonan.

Menjadikan Datuk Rosyam Nor sebagai idola, kira-kira dua tahun bergelar anak seni membuatkannya semakin matang dalam menangani ujian yang menimpa diri.

“Sebagai pendatang baharu, masih banyak yang perlu saya perbaiki terutama sewaktu menjiwai watak. Impian saya untuk menjadi seorang pelakon versatil.

“Ekspresi muka paling penting. Biarlah saya bertatih perlahan-lahan sebelum mengecap kemasyhuran. Takut nanti kalau cepat naik, cepat juga jatuh,” ujarnya.

Bagi memantapkan teknik lakonan, Nazirul ada memasuki kelas lakonan anjuran dramatis terkenal Fauziah Nawi selain meminta tunjuk ajar dan khidmat nasihat pelakon senior. - UTUSAN ONLINE