SUAMI penyanyi Adira, Datuk Red mahu suami Izreen Azminda, Ude, berfikir mengenai anak-anak sebelum membuat keputusan untuk bercerai dengan isteri pertamanya.

Jelas Datuk Red melalui pengalaman terdahulunya isu perceraian bukan perkara mudah, memandangkan ini akan memberi kesan kepada tumbesaran anak-anak.

“Nasihat saya sebelum buat keputusan fikir anak- anak. Anak-anak dalam keadaan ini adalah mangsa sebab mereka tidak mungkin akan dapat sepenuh kasih sayang dari kedua ibu dan bapa. Melalui penceraian yang pertama ini yang pernah saya lalui, terpaksa berpisah dengan anak-anak.

“Sebab itu mahkamah juga memberi tempoh sebelum kita buat keputusan. Saya tahu benda masih baru dan dia juga tidak mahu fikir,” katanya.

Datuk Red atau nama sebenarnya Datuk Sri Adnan Abu, 40, memberitahu sebagai suami kepada penyanyi Adira dia juga pernah melalui keadaan di mana perkahwinan ketiganya diikuti rapat masyarakat.

“Dalam hal ini Ude kena tahu tindakannya akan memberi kesan kepada Izreen sebab dia seorang artis dan dikenali ramai. Jadi bukan salah orang luar untuk terus berkongsi pendapat mengenai hal ini.

“Berkahwin tidak ada masalah tetapi bercerai adalah sesuatu yang saya tidak setuju,” tegasnya lagi.

Sementara itu Ude atau Muhammad Radzi Abdul Wahid, 30, minggu lalu memfailkan permohonan penceraian secara baik terhadap isteri pertamanya Intan Liana Saleh.

Sebelum itu Utusan Online turut mendedahkan Intan hanya mengetahui perkahwinan suaminya itu dengan Izreen selepas beberapa bulan dan reda menerima pelakon itu sebagai madunya.