Lebih 15 tahun mengabdikan diri sebagai anak seni, penyanyi yang meniti populariti menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta itu juga pada masa yang sama, kecewa menyaksikan anak-anak muda sekarang mudah berputus asa hanya disebabkan pengalaman yang baru setahun jagung.

Bertemu dengannya ketika menjayakan rakaman program terbitan ntv7, I Can See Your Voice Malaysia, Misha atau Samihah @ Aisah Omar yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu, dia berharap artis-artis muda kuat mendepani dugaan mendatang.

“Sebaik sahaja membuat keputusan untuk menceburi bidang ini, setiap artis itu sepatutnya sudah sedia maklum dia bakal berhadapan dengan cabaran yang bukan mudah.

“Kefahaman seseorang itu dalam menyediakan dirinya terutama permasalahan bergelar penyanyi harus dititikberatkan terlebih dahulu sebelum memuktamadkan keputusan.

“Ini kerana ujian menjadi seseorang yang dikenali dalam bidang hiburan hadir dari pelbagai sudut dan zahir dalam pelbagai bentuk. Jika tidak kuat, maka akan timbullah berbagai-bagai masalah yang sukar untuk diselesaikan,” katanya menitipkan pesanan penuh makna.

Enggan mengaitkan nama sesiapa, Misha menyedari ada beberapa artis baharu yang dibelenggu ancaman serupa dan menegaskan, perkara tersebut tidak boleh dipandang enteng.

“Saya ulas hal ini secara umum. Sejujurnya, sepanjang pembabitan saya sebagai penyanyi, memang ada pasang surut bergelar anak seni. Kalau mahu menyentuh kisah jatuh bangun saya dalam industri, satu hari memang tak cukup nak diceritakan.

“Cuma yang boleh kongsikan, lagu nyanyian saya pernah tidak dimainkan oleh radio-radio tempatan. Bukannya satu tetapi ada beberapa lagu yang mereka tolak.

“Sebab itu saya tertanya-tanya, kenapa perlu mengalah jika perjalanan seni itu berjalan dengan lancar?” persoal Misha yang turut menasihatkan anak muda berfikir dengan bijak dan membuat pertimbangan sewajarnya agar tidak mensia-siakan peluang.

Bersedia tambah anak

Dalam pada itu, berbicara tentang kisah peribadinya, Misha yang dikurniakan seorang anak, Muhammad Idris Ezzwa yang berusia dua tahun hasil perkahwinan dengan Firos Ezzwan Rossly mengakui, dia dan suami bersedia untuk menimang cahaya mata kedua.

“Sejak awal tahun lagi kami merancang untuk menambah zuriat namun hingga ke hari ini belum lagi diberikan rezeki. Bagaimanapun, saya percaya aturan Allah itu adalah yang terbaik.

“Ini kerana, ketika mengandungkan Idris, proses yang dilalui sangatlah tenang kerana waktu itu jadual seni saya tidak padat.

“Seolah-olah tepat pada waktunya memandangkan tidak mengalami keletihan melampau seperti dialami ibu hamil yang lain.

“Mungkin sekarang ini saya sedikit sibuk dengan kerja-kerja mempromosikan single baharu, sebab itulah belum diberi peluang untuk hamil lagi,” katanya yang turut mempunyai seorang anak angkat, Muhammad Adam Emir yang kini berusia 12 tahun.

Berkaitan kerja seninya pula, Misha akui berasa gementar menantikan maklum balas peminat terhadap single baharunya, Sampai Bila.

Ciptaan Sharon Paul dan lirik hasil kolaborasi antara dua nama yang tidak asing lagi iaitu Shah Shamshiri dan Fedtri Yahya, karya tersebut diharap mengembalikan semula kegemilangan kariernya.

“Lama juga tak keluar lagu. Jadi, saya rasa ada beberapa kekurangan terutama kualiti vokal, lebih-lebih lagi selepas melahirkan anak sulung kira-kira dua tahun lalu.

“Tak mahu ambil sebarang risiko yang mampu merosakkan karier yang dibina sekian lama, saya mengambil inisiatif sendiri masuk kelas vokal untuk memperbaiki kelemahan,” katanya.