Sudah bergelar pensyarah di International University (Unitar) sejak beberapa bulan yang lalu, dia juga sebenarnya sedang menyambung pelajaran dalam peringkat Sarjana di Universiti Malaya (UM) dalam masa yang sama.

“Kalau nak diikutkan memang agak penat sejak akhir-akhir ini kerana terpaksa melakukan beberapa kerja dalam satu masa. Bila sudah bergelar tenaga pengajar, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan terutama tumpuan terhadap pelajar.

“Dalam masa yang sama saya juga tak boleh ambil mudah pengajian sendiri dan kerjaya seni. Sebab itu sampai ke hari ini saya masih lagi cuba menyeimbangkan kesemuanya,” kata penyanyi yang berusia 23 tahun ini lagi.

Dalam pada itu, Najwa gembira kerana cita-cita untuk bergelar pensyarah diperoleh dalam usia yang masih muda. Dia yang diberikan tanggungjawab mengajar Bahasa Inggeris di Unitar gembira dapat berkongsi ilmu dengan para pelajar di sana.

Walaupun usianya masih muda, dia tidak berhadapan dengan masalah besar untuk mengajar kerana kebanyakan pelajar di sana menghormati dirinya sebagai seorang pensyarah.

“Dahulu timbul juga persepsi adakah pelajar saya nanti boleh menerima pensyarah yang seusia dengan mereka. Tapi bila berhadapan sendiri dengan mereka, tidak timbul isu tersebut.

“Mereka kenal siapa yang sedang mengajar di hadapan tetapi masing-masing menghormati dan memudahkan segala kerja. Saya gembira dapat berkongsi ilmu dengan mereka,” katanya ketika ditemui sempena Karnival OK yang berlangsung di Kuala Selangor minggu lalu.

Karnival anjuran Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) itu turut disertai artis popular termasuklah Tegar, Firman, Khai Bahar, I Am Neeta, Salwa Abdul Rahman dan ramai lagi.

Diberikan tanggungjawab mengajar Bahasa Inggeris lapan kelas dalam masa seminggu, Najwa berharap dia juga mampu menghabiskan pengajian Sarjana Bahasa Inggeris (TESL) di UM dalam masa yang ditetapkan.

Masih aktif

DALAM pada itu, Najwa menegaskan yang dia masih lagi aktif dalam bidang seni. Tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk meninggalkan terus bidang yang banyak menaikkan namanya itu, dia sendiri baru sahaja keluar dengan lagu berjudul Jauh.

Menariknya, sambutan yang diterima masih lagi seperti dahulu meskipun industri seni hari ini sudah dibanjiri dengan muka-muka baharu sehari demi sehari.

“Tiada apa yang berubah dan saya gembira kerana orang masih ingat dengan lagu-lagu saya. Stesen radio pun sama, masih memainkan lagu-lagu lama dan baharu saya, itu sudah cukup menggembirakan.

“Saya tidak pernah mencari populariti dan cukuplah sekadar ada yang menerimanya. Itu sudah dikira sebagai kejayaan besar,” katanya yang bakal mengeluarkan album penuh tidak lama lagi.

Tambah Najwa, sepanjang penglibatan dalam bidang seni dia tidak pernah sesekali meletakkan isu populariti di hadapan. Baginya pelajaran adalah perkara pertama dan seni pula datang selepas itu.

Dari satu sudut lain, dia gembira melihat muka-muka baru yang muncul saban hari dengan karya yang tak kurang hebat.

“Berilah mereka sokongan dan jangan sesekali menyimpan rasa terancam. Saya dahulu pernah melalui fasa tersebut tetapi mampu mengharungi juga. Setidaknya ini petanda yang industri muzik kita berkembang pesat,” katanya lagi.