Menganggap Paskal sebagai salah sebuah filem terbaik yang pernah dia tonton, Hairul tidak bercakap atas kapasiti sebagai pelakon utama sebaliknya berbicara dari sudut pandang seorang penonton.

Bagai tepat menusuk ke jiwanya, watak Arman sebagai seorang anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) benar-benar memberi nafas baharu kepada bapa kepada seorang anak ini.

Watak itu seolah-oleh merasuk rohnya untuk memberi seluruh jiwa bagi merealisasikan karakter sebagai seorang tentera. Luka, penat dan sakit, segala-galanya bagai sudah sebati.

Menjalani latihan selama dua bulan sebelum memulakan penggambaran, Hairul belajar menyelam, menggunakan senjata dan seni pertahanan diri untuk merealiasikan wataknya.

“Mungkin saya memang suka dan kena dengan jiwa jadi apabila berlatih, semangat itu lain macam. Macam kena rasuk pun ada. Berapi-api hati saya membawakan watak Arman.

“Kalau cakap fasal kecederaan, saya sendiri terpaksa menanggung kesakitan apabila perlu berlakon dengan tangan patah. Bayangkan, dua hari selepas rawatan, saya perlu masuk set semula.

“Tapi itu semua saya anggap satu komitmen sebagai pelakon. Bila lagi saya akan diberi peluang yang sama, kan. Akhirnya, impian saya untuk berlakon filem aksi sebenar tercapai,” katanya.

Biarpun sebelum ini pernah membawakan watak sebagai anggota bomba menerusi filem Qhaliq, Paskal memberi cabaran dan ujian berbeza kepada Hairul. Tanggungjawab yang perlu dipikul bukan kecil-kecil anak.

Mengakui gusar dan takut mula bersarang dalam diri tatkala menerima tawaran itu, Hairul bagaimanapun tidak mahu menjadikan perkara tersebut sebagai halangan untuknya membuktikan bakat seni.

Tidak risau sekiranya peminat membandingkan lakonannya dalam dua filem berbeza, Hairul berkata, setiap watak yang dibawa adalah satu proses pembelajaran untuknya memperbaiki lakonan.

“Mula-mula saya takut untuk terima tawaran ini. Bolehkah saya bawa watak seorang Paskal. Takut filem tak jadi dan banyak lagi fikiran-fikiran nakal yang hadir. Tapi saya masuk bidang ini untuk jadi pelakon. Jadi mental kena kuat.

“Mungkin akan ada pendapat nakal segelintir pihak bahawa Paskal bakal senasib dengan Qhaliq (kurang mendapat sambutan). Tetapi saya mohon tonton dahulu sebelum menilai filem ini.

“Ada filem saya yang kurang berjaya namun itu semua satu proses pembelajaran untuk saya. Setiap filem atau drama adalah kelas untuk saya memperbaiki lakonan saya yang mungkin banyak kurangnya,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Sedikit tertekan menunggu reaksi dan sambutan peminat, Hairul bagaimanapun menyerahkan soal pecah panggung atau tidak kepada takdir dan rezeki. Siapalah dia untuk memaksa tuah menyebelahi Paskal.

“Kami sudah berusaha sebaik mungkin dan boleh dikatakan masing-masing tidak kira pelakon atau kru produksi memberikan komitmen lebih dua ratus peratus. Saya serahkan kepada rezeki,” katanya berharap.

Penantian berbaloi Ammar Alfian

SEDEKAD menunggu tuah bukan satu tempoh yang mudah untuk Ammar Alfian tempuhi. Dia belajar mematangkan diri dan memperbaiki lakonan sepanjang tempoh sukar itu.

Mendepani pelbagai kontroversi dan persepsi serong masyarakat yang mungkin mematahkan sebelah sayap seninya, watak Jeb dalam filem Paskal berjaya membuktikan Ammar bukan pelakon tempelan.

Namun bukan mudah untuk dia kembali menghirup udara seni selepas dua tahun mendiamkan diri. Apatah lagi, membawa watak antagonis sebagai pembuka semula tirai kanvas seninya mungkin bukan satu langkah bijak.

“Mula-mula memang skeptikal hendak terima watak Jeb, yalah watak ‘jahat’ selepas dua tahun diamkan diri. Apa pula penerimaan peminat kan tapi saya buang semua persepsi itu.

“Jeb satu watak yang benar-benar memberi saya peluang untuk buktikan bakat saya. Macam Hang Jebat dan Hang Tuah, Jeb mempertahankan haknya tapi pada masa yang sama, pentingkan diri sendiri.

“Saya rasa puas membawa satu watak yang benar-benar kena dengan jiwa saya. Jadi jahat pun jahatlah, penonton kita sekarang sudah bijak membezakan lakonan dan realiti,” katanya yang popular dengan drama Tari Tirana satu ketika dahulu.

Sudah 10 tahun mengharungi ombak seni yang semua sedia maklum penuh onak tersendiri, Ammar mula meletakkan tanda aras sendiri dalam memilih watak. Dia tidak mahu dikenali sebagai pelakon biasa-biasa.

Lebih memfokuskan tawaran watak filem atau drama aksi, Ammar sedar mungkin ruang lingkup kerjayanya selepas ini semakin mengecil. Namun itu semua demi kepuasan diri dan watak yang memberi impak.

“Memang saya perlu selektif dalam memilih watak. Kalau boleh, saya mahu watak aksi sahaja. Kalau romantis atau cintan-cintun ini, saya kurang sedikit. Tak puas rasanya.

“Mungkin sebelum ini ada yang pertikai kenapa beria-ria buat badan, Paskal adalah jawapannya. Sebab itu 10 tahun saya tunggu saat ini untuk beri jawapan kepada warganet yang selama ini bertanya-tanya,” katanya.

Berbicara soal Paskal, Ammar meminta agar penonton tidak membanding-bandingkan filem yang diangkat daripada sebuah kisah sebenar itu dengan filem lain. Paskal punya kekuatan tersendiri.

“Filem ini berbeza dengan karya lain. Dari segi lakonan, saya tak mahu komen lebih. Tetapi jalan cerita dan plot, pengarah memberi komitmen yang cukup tinggi. Tak sama dengan filem lain.

“Yang saya boleh cakap, Paskal adalah satu tanda aras baharu kepada dunia perfileman Malaysia. Kita tak dapat jangka bagaimana penerimaan peminat tapi kalau anda mahu filem aksi, Paskal adalah jawapannya,” katanya.

Demi menjayakan watak Jeb, Ammar mengakui dia terpaksa menanggung kesakitan apabila gegendang telinga sebelah kanannya pecah. Malah mukanya juga mengalami luka-luka kecil ketika menjayakan babak berlawan.

“Bahagian belakang saya memang sakit. Itu belum kira luka-luka yang ada di seluruh badan. Tapi saya puas. Luka, lebam itu semua satu kepuasan yang saya tunggu selama ini.

“Paskal adalah sebuah filem Malaysia. Kita perlu sama-sama menyokong filem ini. Mengetengahkan tema ketenteraan yang jarang sekali dipertontonkan, filem ini berjiwa besar,” katanya.