Menurut Nabila, mereka bakal merakamkan lagu tersebut pada minggu hadapan dan karya itu akan dirakam dalam dua versi iaitu Bahasa Melayu dan Inggeris.

“Saya sangat teruja dengan projek ini. Saya sangat berbangga kerana dalam ramai-ramai penyanyi di Malaysia, saya dipilih untuk menyanyikan lagu tema tersebut.

“Saya akan menyanyikan lagu itu dalam versi Bahasa Melayu dan dikatakan akan terselit beberapa baris lirik berbahasa Mandarin juga,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman penyanyi lagu tema filem Lee Chong Wei di sini hari ini.

Majlis tersebut turut dihadiri jaguh badminton negara itu sendiri, para pelakon antaranya Datuk Rosyam Nor, Jake Eng, Tosh Chan, Ashley Hua dan Agnes Lim.

Nabila dan Priscilla bakal mempersembahkan lagu tema tersebut buat kali pertama secara langsung pada majlis tayangan perdana filem itu yang akan berlangsung pada 9 Mac ini.

Pada tayangan perdana itu nanti, orang ramai berpeluang menonton filem Lee Chong Wei dengan versi tambahan berdurasi 133 minit.

Filem arahan Teng Bee itu mengisahkan kehidupan awal Chong Wei yang penuh liku sehingga menjadi pemain badminton nombor satu dunia.

Filem berkenaan akan ditayangkan di dalam Stadium Nasional, Bukit Jalil menggunakan layar gergasi LED sekali gus menjadikannya sebagai majlis tayangan perdana filem terbesar di Asia dan bakal dicatatkan dalam The Asia Book of Records. - UTUSAN ONLINE.