Menurut pengacara program Gegar Vaganza (GV) itu, Cef Wan sepatutnya bertindak lebih profesional sekiranya mahu menegur cara dia mengemudi program itu.

“Rasanya sebelum ini tiada orang yang membalas kritikannya, jadi saya ambil peluang untuk menjawab menerusi Instagram #nabilzira.

“Saya bukan geram tetapi kapsyen yang dimuat naiknya itu membuka ruang untuk netizen menghina saya,” katanya kepada Utusan Online.

Terdahulu, Cef Wan mengeluarkan kenyataan mengkritik cara pengacaraan Nabil yang dikatakan tidak sopan dan memberi impak negatif kepada kanak-kanak yang menonton.

Bagaimanapun, menerusi kapsyen tersebut, ramai netizen meninggalkan komen yang memihak kepada Nabil.

Tambah pelakon filem Sifu dan Tongga itu, tindakan Cef Wan itu seolah-olah sengaja mahu memalukan dirinya.

“Adakah wajar dia menuduh saya menjadi penyebab kepada masalah sosial dalam kalangan kanak-kanak seperti yang dibangkitkannya?

“Tindakannya itu membuatkan saya malu, apatah lagi saya ada ibu bapa dan anak-anak yang membaca kritikan tersebut,” luah bapa kepada dua orang cahaya mata.

Nabil berpasangan dengan Jihan Muse sebagai pengacara GV yang sudah memasuki musim keempat tahun ini. - UTUSAN ONLINE