Kemenangan Syafeek atau Muhammad Syafiq Ikhwan Ghazali itu sekali gus menewaskan seramai 44 pesaing dari seluruh dunia termasuk wakil Korea Selatan dan Ukraine yang terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua serta ketiga.

“Jujurnya saya terkejut atas kemenangan ini terutama ketika mengenangkan balik susah payah yang dihadapi selama sebulan lebih untuk mendapatkan tajaan membawa pasukan negara ke sini.

“Syukurlah, tiga hari sebelum terbang ke sini, barulah ada syarikat pelaburan, Malaysia Monspace bersetuju untuk menghulurkan bantuan dengan menampung segala perbelanjaan.

“Sebenarnya saya agak terkilan dan berasa amat sedih apabila kertas cadangan saya ditolak oleh tiga kementerian walaupun sebelum ini telah menaburkan janji-janji manis,” luahnya dalam nada kecewa.

Menurut Syafeek yang menjuarai i-Sing Malaysia 2018 pada 29 Julai lalu, ketika bersaing di peringkat dunia, hanya 15 orang sahaja mara ke pusingan akhir setelah melepasi tiga pusingan awal.

“Pusingan pertama setiap peserta wajib menyanyikan lagu bahasa kebangsaan negara masing-masing tanpa adanya penyingkiran.

“Selepas itu, semua 44 peserta akan dipasangkan kepada 22 pasangan bagi mengharungi pusingan kedua iaitu satu lawan satu (battle).

“Seterusnya, 22 peserta yang berjaya menyingkirkan lawannya dalam pusingan battle mara ke tahap tiga untuk persembahan solo,” katanya menerangkan secara terperinci.

Tambah Syafeek, pada peringkat ketiga, barulah keyakinannya semakin meningkat setelah menyampaikan lagu nyanyian asal Frank Sinatra, My Way dalam versi muzik gamelan.

Katanya, dalam pusingan tersebut, dia mendapat maklum balas memberangsangkan daripada panel juri atas kreativitinya yang menyerlah menerusi penyampaian sebuah lagu antarabangsa yang disuntik elemen tradisional dan kebudayaan Malaysia.

“Akhirnya, kecemerlangan di pusingan ketiga membawa saya ke pentas final dan berbekalkan lagu asal nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza berjudul Kau Kekasihku, tak dijangka nama saya diumumkan sebagai juara bagi edisi kedua penganjuran bertaraf dunia ini,” jelasnya lebih lanjut.

i-Sing World 2018 merupakan antara pertandingan nyanyian berprestij dunia dengan menawarkan hadiah utama berupa wang tunai bernilai RM10,333.50 (USD 2,500), trofi kejuaraan serta pakej penginapan dan penerbangan ke Sepanyol bagi menghadiri penganjuran edisi ketiga tahun hadapan.

Bagi kategori duet, pasangan dari Korea Selatan muncul sebagai juara, sementara pasangan dari Filipina di kedudukan kedua dan Arab Saudi pula menghuni kedudukan ketiga. - UTUSAN ONLINE