Melodi Mimpi Indah hasil ciptaan Hael Husaini adalah antara 100 material  yang terhimpun untuk dipilih oleh Amira yang juga bekas peserta program realiti televisyen, Akademi Fantasia (AF) untuk dirakam sebagai single terbaharunya.

Tidak menolak berada dalam zon selesa dengan karya berentak balada, Amira menjelaskan, dirinya bukan terdorong ke arah genre lagu-lagu jiwang karat mendayu.

"Namun saya mencuba genre seperti ini untuk diketengahkan. Bunyi irama waltz dalam lagu Mimpi Indah dan bagi saya asalkan ia bagus dan melodinya sedap, saya akur," ujar Amira.

Sama ada genre balada atau waltz bukan forte Amira yang lebih berkehendakkan sebuah lagu balada tangkap lentuk, gadis lemah lembut dalam tutur bahasanya ini lebih bersikap terbuka, tengok macam mana hala tuju dan penerimaan peminat selepas terbitnya single keempatnya kali ini.

Kata Amira lagi, sebagai komposer Hael Husaini mempunyai pengetahuan dalam karya yang dihasilkan untuk didendangkan oleh beliau.

"Kalau nak tahu, dalam membuat pemilihan satu daripada 100 lagu untuk dijadikan single keempat, saya mengambil masa yang lama untuk membuat pilihan.

"Pastinya reaksi dan penerimaan peminat dan pendengar dalam perhatian saya. Saya juga sebenarnya berdebar menunggu impak atau kesan yang diperoleh daripada Mimpi Indah yang diterbitkan oleh Edry Abdul Halim atau Edry KRU.

Pada majlis pada petang ini, turut dilancarkan secara rasmi ialah muzik video Mimpi Indah.

Menerusi muzik video tersebut, pelakon Idris Khan turut ditampilkan sebagai pasangan kepada Amira Othman.

Untuk rekod, muzik video single kedua Amira berjudul Hati Hati mencapai lebih 10 juta penonton manakala muzik video single ketiga, Jaga Jaga mencecah lebih 8 juta penonton di platform YouTube Seventeen Eleven Music yang mana Rosmin Hashim selaku Pengarah Urusan. - UTUSAN ONLINE