Katanya, hanya segelintir daripada penyanyi muda mempunyai keunikan dan kekuatan tersendiri dan selebihnya hanya bersandarkan populariti semata-mata.

“Bukan bermakna mereka tidak bagus tetapi saya bercakap dari segi kualiti muzik yang mereka hasilkan. Muzik yang cepat menangkap di telinga belum tentu bagus dan persoalannya adakah sesebuah lagu itu mampu bertahan 20 tahun akan datang?

“Saya percaya muzik yang bagus akan kekal bertahan selama-lamanya. Kalau bunyi lagu itu sendiri dibuat ala kadar, hayatnya tidak lama. Nak menyanyi kena serius dan ambil peduli semua segi, baru boleh kekal bertahan lama,” kata Man Bai membuka bicara.

Dari kaca mata lelaki ini, dia melihat lagu Jampi dan Tergantung Sepi masing-masing hasil nyanyian Hael Husaini dan Haqiem Rusli merupakan antara lagu yang berkualiti ketika ini.

Bunyi yang dihasilkan menerusi lagu-lagu tersebut menangkap telinganya dan dia percaya kedua-dua lagu itu mampu kekal lama untuk tahun-tahun mendatang.

Berbanding dengan artis berkumpulan pula, lelaki yang terkenal dengan kumpulan Gersang ini agak kecewa dengan kualiti muzik yang mereka hasilkan. Tidak banyak kumpulan-kumpulan baharu memberikan penelitian kepada aspek muzik yang sepatutnya di tempatkan di tempat tertinggi.

“Minta maaf, tidak banyak kumpulan yang meninggalkan kesan kepada saya. Kumpulan Estranged dan Akim & The Majistret sahaja yang memberikan kualiti muzik yang terbaik pada pengamatan saya.

“Yang lain perlu berusaha keras untuk memberikan yang terbaik kepada lagu yang dihasilkan. Bila berada di dalam sebuah kumpulan, bunyi yang dihasilkan amat penting. Kalau perkara itu tidak diambil peduli bagaimana mereka nak bertahan lama?

“Sebab itu kebanyakan kumpulan baharu perlu lebih banyak buat latihan, cari pengalaman. Perkara tersebut amat berguna untuk mereka selama-lamanya,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Masih Aku Terasa ini lagi.

 

Mahu kembali

MENGULAS mengenai perkembangan terbaharu pula, Man Bai tidak menafikan yang dia sudah merancang untuk kembali mewarnai industri seni tanah air bersama kumpulan Gersang, yang pernah mempopularkan namanya pada tahun 1990-an.

Tentu sahaja pelbagai perancangan sudah diatur termasuklah mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli lain bagi menghasilkan sebuah album baharu.

“Saya istilahkan ia sebagai kelahiran semula atau reborn. Dalam kepala sudah ada beberapa idea termasuklah merakamkan semula lagu lama yang popular dan ditambah dengan lagu baharu sebagai kekuatan. Ini merupakan antara perkara yang mahu saya lakukan untuk tahun ini.

“Semangat itu datang daripada orang sekeliling yang mahu melihat Gersang aktif semula. Harapnya apa yang diimpikan akan menjadi kenyataan,” kata Man Bai yang teruja untuk bekerjasama dengan Kid, Man Greng dan Jojet yang merupakan ahli asal Gersang.

Dalam pada itu bapa kepada tiga cahaya mata ini gembira kerana diberikan peluang untuk mengadakan persembahan Man Bai- Kau Ilhamku di Hotel Royale Chulan Damansara, Selangor pada 15 April hadapan.

Bakal beraksi bersama dengan Rahim Maarof, dia dijadual menghiburkan peminat dengan rangkaian lagu-lagu malar segar yang dipetik daripada album Masih Aku Terasa, Suratan Takdir, B29 dan rangkaian lagu daripada album solo miliknya.

“Peluang begitu tak selalunya datang dan pastinya saya berterima kasih kepada penganjur dan pihak hotel yang memberikan peluang ini. Tentu sahaja persembahan ini akan lebih intim memandangkan tempat adalah terhad.

“Dengan barisan pemuzik yang ada, saya beri jaminan yang persembahan kali ini akan menjadi kenangan manis kepada semua yang hadir,” katanya yang mengharapkan kehadiran teman-teman lama dan baharu.

Selain itu, dia juga bakal mengadakan konsert jelajah bersama Zamani dan Rahim Maarof bermula 28 Julai nanti di beberapa rangkaian Hotel Royale Chulan di seluruh negara.

 

Showcase Man Bai- Kau Ilhamku

Lokasi: Camelot, Hotel Royale Chulan Damansara

Artis jemputan: Rahim Maarof

Tarikh: 15 April 2018

Harga tiket: RM100 & RM120 (Hubungi 019-2928260 untuk sebarang pertanyaan dan tempahan)