Filem yang menelan belanja sebanyak RM1.6 juta itu turut membariskan pelakon lain seperti Pekin Ibrahim, Sabrina Ali, Datuk Rahim Razali dan A Galak.

Berkisahkan tentang watak Adam, lakonan Syamsul yang tidak dapat menerima kenyataan terhadap kematian isterinya membawa dia ke fasa lain dalam hidupnya.

Dia yang juga merupakan pengamal perubatan Islam akhirnya diminta membantu Maria (Nabila Huda) yang menerima gangguan pelik. Namun begitu, Adam akhirnya hilang arah dan berubah menjadi pelik.

Bagi Syamsul, yang cuba disampaikan melalui filem ini bukan sekadar kisah seram tetapi perlu dilihat dalam skop yang lebih luas. Selain mahu bercerita tentang hal tersebut, Munafik juga mengembalikan pandangan terhadap keimanan masing-masing.

“Sebaik sahaja bersetuju membuat filem ini, saya mahu memastikan Munafik akan menjadi filem yang lengkap. Bukan sekadar memaparkan kisah seram semata-mata tetapi ada juga pengajaran, mesej yang mahu disampaikan dan beberapa hal lain yang perlu dilihat selapis demi selapis.

“Sejak awal lagi saya sudah meminta pendapat beberapa ustaz tentang hal-hal berkaitan termasuk penggunaan ayat al-Quran yang tepat dan sebagainya. Ini hal yang penting dan tidak boleh dibuat main-main,” katanya yang sudah mengarahkan sembilan buah filem sebelum ini termasuk Khurafat.

Mengulas mengenai perbezaan antara filem Khurafat dan Munafik, Syamsul menegaskan yang kedua-dua filem ini mempunyai kelainan terutama soal pengarahan, plot cerita dan perjalanan filem secara total.

Tegasnya, banyak kelemahan yang dikesan melalui arahan filem Khurafat sudah diperbaiki dan tidak akan diulangi menerusi naskhah baharunya itu.

Emosi Fizz Fairuz

MENGAKUI teruja menantikan sambutan peminat untuk filem ini, Fizz Fairuz menganggap Munafik antara filem paling seram yang pernah dilakonkan setakat ini. Berpengalaman luas dalam lakonan sejak belasan tahun lalu, dia menganggap yang cuba digambarkan oleh Syamsul sebagai sesuatu yang menarik.

Membawakan watak ustaz dalam filem ini, Fizz menganggap ini merupakan kesinambungan kepada watak Ustaz Aidil yang pernah mempopularkan namanya melalui drama dan filem Nur Kasih sekitar 2009.

“Sebaik sahaja mendapat tawaran, saya tahu ini peluang yang baik untuk saya kembali dengan watak begini. Memang saya sentiasa mengimpikan peranan begini tetapi hanya sekarang baru menerima peluang itu.

“Cuma kali ini saya tak mahu membawakan watak dengan emosi yang sama. Tambahan pula ini merupakan filem seram, pastinya ada kelainan yang cuba saya berikan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Fizz mengakui yang dia sebenarnya yang Munafik kuat berdiri sebagai sebuah naskhah yang harus ditonton peminat filem kerana yang cuba digambarkan oleh Syamsul benar-benar menjadi selepas melihat hasilnya.

Pastinya kerjasama antara tenaga kreatif dan pelakon yang membuatkan filem ini berjaya menjadi antara naskhah paling hebat sepanjang penglibatannya dalam industri perfileman tempatan.

“Setiap kali tampil dengan filem baharu, saya akan cuba memberikan kelainan mengikut kesesuaian watak yang diberikan. Itu memang menjadi tanggungjawab saya untuk meneliti dan mengembangkan watak seperti yang sepatutnya.

“Saya sendiri enggan penonton melihat Fizz Fairuz yang sama dalam setiap lakonan. Cuma kali ini saya bertuah kerana Syamsul tahu kelebihan dan kekurangan serta tahu untuk membawa watak ini mengikut aliran yang betul,” tambahnya lagi.

Menantikan sambutan hangat bakal diberikan oleh peminat terhadap filem ini nanti, Fizz mengharapkan sokongan semua bagi memastikan karya ini mampu meninggalkan impak kepada sinema tempatan secara keseluruhannya.

“Kita faham kegusaran segelintir penonton yang ada kala tertipu bila ke panggung wayang sebelum ini. Ada yang mengharapkan yang terbaik tapi tidak berlaku dan membuatkan mereka enggan lagi memberikan sokongan kepada filem Melayu khususnya.

“Tapi melalui Munafik, saya pasti perkara itu tak akan berlaku. Ada kelainan dan sentuhan yang bakal membuatkan orang akan bercakap tentangnya bila sudah ditayangkan nanti. Percayalah!” kata Fizz lagi.

Keterujaan Nabila

MENJADI antara naskhah paling besar untuknya sepanjang tahun ini, pastinya memberikan seribu satu harapan kepada Nabila Huda yang mengharapkan sambutan hangat akan diberikan peminat kepada Munafik.

Tegas wanita yang baru sahaja mendirikan rumah tangga buat kali kedua pada 25 Disember lalu, dia menganggap Syamsul berjaya membawa filem ini menjadi ‘besar’ dan bakal menjadi fenomena kepada filem seram di Malaysia.

“Sebenarnya kerjasama antara kami sudah bermula sejak filem Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam sekitar 2009. Tapi hanya melalui Munafik barulah kami dipertemukan semula di layar perak.

“Saya tak ada masalah untuk bekerjasama dengan dia memandangkan kami sama-sama muda. Dia tahu yang saya perlu buat dan saya pula menghormati setiap permintaannya ketika berada di lokasi penggambaran.

“Sebab itu saya sudah menjangkakan Munafik akan memberikan sesuatu yang lebih besar apabila ditayangkan nanti. Insya-Allah ini akan menjadi filem paling seram di Malaysia,” ceritanya lagi.

Ketika ditanya apakah cabaran terbesar Nabila menerusi filem ini, wanita tersebut mendedahkan yang dia terpaksa melakonkan watak histeria sambil menuturkan dalam bahasa Arab seperti yang dikehendaki pengarah.

Paling sukar pastinya untuk menghafal beberapa dialog dalam bahasa Arab sambil menjaga ekspresi wajah ketika babak dirasuk yang dirasakannya sangat mencabar.

“Bagi saya itu antara cabaran terbesar dalam filem ini. Saya tak boleh salah sebut dan perlu menjaga pergerakan ketika melakonkan babak tersebut. Tapi Alhamdulillah semuanya berjalan lancar seperti yang dikehendaki,” tambahnya.

Jelas Nabila antara tarikan Munafik berbanding dengan filem seram yang lain sudah pasti pada jalan cerita dan perjalanan plot cerita yang lebih matang termasuklah menitikberatkan isu agama.

Tambah ibu kepada Keisha Laila ini lagi, Munafik tidak sekadar memaparkan kisah ‘hantu’ klise seperti mana kebanyakan filem yang lain tetapi turut menyelitkan unsur pengajaran buat semua.