Menelan belanja sebanyak RM2.8 juta, berbanding kos pembikinan Munafik pada 2016 sebanyak RM1.6 juta, Syamsul sangat optimis dengan karya tersebut yang telah meraih kutipan RM2.05 juta sejurus tayangan awal dilaksanakan sehari sebelum itu.

Memandangkan Munafik 2 sarat dengan elemen Islamik termasuk bacaan ayat-ayat suci al-Quran, Syamsul menjelaskan, dia tidak berenggang dengan telefon bimbitnya untuk menghubungi alim ulama bagi membantu mencari penyelesaian terhadap hal-hal yang meragukannya.

“Apabila ada sahaja babak yang memerlukan saya atau pelakon lain membaca ayat-ayat ruqyah, saya akan hantar rakaman audio kepada seorang ustaz yang merupakan kenalan saya untuk memastikan sebutannya betul atau tidak.

“Itulah yang dilakukan dari mula hingga ke penghujung penggambaran kerana saya tidak mahu ambil mudah akan perkara sebegini,” katanya kepada Mega HITS.

Syamsul memberitahu, Munafik 2 yang disifatkan sebuah naskhah berat punyai kekuatan tersendiri untuk menarik minat penonton.

Anak kepada pengarah dan penerbit filem tersohor, Datuk Yusof Haslam ini juga kisah seandainya wujud anggapan sedemikian kerana itulah yang diinginkannya, sekali gus memastikan kualiti penghasilan karya-karya miliknya terus diberikan perhatian sewajarnya oleh peminat dunia seni.

“Biarlah tanggapan sebegitu menjadi bualan mulut penonton. Itu yang saya mahukan dan secara tidak langsung menjadi identiti sentuhan saya dalam dunia pembikinan filem,” kata Syamsul.

Sebagai penerbit bersama di bawah terbitan Skop Productions, Syamsul tidak mengetepikan nilai komersial dalam filem tersebut.

“Saya faham situasi dihadapi seseorang penerbit yang mengeluarkan belanja besar menerbitkan sesebuah filem. Pendek kata, saya bukan sahaja berperanan sebagai pengarah, namun pada masa sama memastikan setiap modal dilaburkan berbaloi,” tambahnya.

Kata Syamsul, demi menghasilkan sebuah karya agung yang bukan sahaja memenuhi cita rasa penonton, malah meliputi pelbagai aspek lain, ternyata ia bukan satu tugas yang mudah.

“Apa yang boleh saya katakan, Munafik 2 bukanlah filem seram semata-mata, bahkan diterap dengan variasi elemen untuk mewujudkan pelbagai rasa. Di samping itu, saya tidak mahu penonton sekadar berhibur, namun ingin mereka menjadikan sesebuah naskhah itu sebagai medium pembelajaran.

“Menghasilkan sesuatu berbentuk hiburan itu memang mudah, tetapi mengilhamkan karya agung yang dilengkapi macam-macam manfaat bukan satu tugas senang,” katanya menyambung perbualan.

Kemunculan Mawi selepas tujuh tahun

AGAK lama tidak tampil di layar perak, Asmawi Ani, 37, atau Mawi mengakui, dia berasa gugup untuk sama-sama terlibat dalam sebuah naskhah yang pernah mencetuskan fenomena dua tahun lalu.

Selama tujuh tahun tidak berlakon, Mawi memberitahu, persahabatan yang terjalin dengan Syamsul menjadi antara sebab utama dia bersetuju untuk menerima lamaran pengarah itu.

“Saya menerima pelawaan itu pada awal tahun ini. Mulanya, saya difahamkan bahawa watak Azhar yang ditawarkan kecil sahaja peranannya tetapi selepas skrip siap, babak menjadi banyak.

“Sebenarnya, saya lebih selesa untuk bekerja dengan pengarah yang saya kenal. Memandangkan kami sudah lama berkawan baik, saya bersetuju. Lagipun saya rasakan inilah peluang terbaik yang saya ada untuk kembali ke layar lebar setelah lama berehat,” katanya yang kali terakhir berlakon filem menerusi naskhah Magika pada 2010.

Dalam pada itu, Mawi berkata, pada awalnya dia juga berasa gugup dan gementar di hari pertama berada di set penggambaran sementelah tidak lama berlakon.

Apatah lagi, dengan trek rekod Munafik yang ditayangkan sebelum ini mendapat sambutan hangat audiens sekali gus mencipta fenomena tersendiri menjadikan rasa gementar tambah berganda dalam diri Mawi.

“Jadi, harapan penonton terhadap Munafik 2 mestinya besar. Saya harap mutu lakonan yang dipersembahkan dapat memenangi hati peminat naskhah ini kelak,” ujarnya mengharap.

Selain itu, Mawi juga diberi peluang yang serupa dalam karya terdahulu untuk menyanyikan lagu tema filem Munafik 2 berjudul Menangislah ciptaan Syamsul berkolaborasi dengan sepupunya, Dr. Anwar Faizal sebagai penulis lirik.

Fizz, Syamsul bertelagah di set

MENGAKUI dia seorang pelakon yang mudah bekerjasama dengan semua pengarah, namun bekerjasama dengan Syamsul di set penggambaran Munafik 2 menawarkan pengalaman yang jauh berbeza buat Fizz Fairuz.

Fizz atau nama sebenarnya, Mohd Fairuz Zainal Abidin, 39, berkata, ketika menjalani penggambaran Munafik 2, dia tidak menafikan tercetus pertelagahan pendapat dengan Syamsul yang disifatkan terlalu ego.

“Itu adalah tanggapan awal saya terhadap Syamsul ketika kali pertama memikul peranan sebagai Ustaz Azman dalam Munafik, dua tahun lalu. Jujurnya, saya sukar untuk mengikut rentak pemikiran seninya yang amat berlainan dari sudut idea dan konsep.

“Maklumlah, sebagai seorang lelaki, masing-masing ada ego tersendiri yang ingin dipertahankan,” akui Fizz.

Pun begitu, berdasarkan kejayaan yang dirangkulnya sebelum ini, Fizz akur dengan buah fikiran sutradara yang pernah memenangi trofi Pengarah Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-57 itu.

Menurut Fizz, ketika membintangi Munafik 2, dia masih lagi meragui idea-idea yang diberikan Syamsul, tetapi cuba menyelami maksud tersirat sedalam-dalamnya.

“Apapun, tidaklah sampai bergaduh. Cuma biasalah, dalam keadaan tertekan untuk memberikan yang terbaik, kita memang sukar untuk mengelak daripada bertelagah antara satu sama lain.

“Ada masa, permintaan Syamsul itu bercanggah dengan apa yang saya rasa sesuai untuk watak itu. Selepas mendengar penerangan daripadanya, barulah saya faham,” katanya.

Mengulas mengenai watak Ustaz Azman, Syamsul telah mengembangkan peranannya merangkumi 80 peratus daripada keseluruhan jalan cerita Munafik 2 berbanding hanya 50 peratus dalam Munafik.

Ujar Fizz, plot cerita Munafik 2 juga telah dikembangkan sebaik-baiknya yang bukan sahaja meliputi dua topik utama iaitu mistik dan syariah, bahkan memupuk nilai kekeluargaan serta persahabatan. Pelakon lain yang turut membintangi filem tersebut ialah Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Fauzi Nawawi, Ku Faridah, Datuk Rahim Razali dan Weni Panca.