FENDY BAKRY kini alami masalah kesihatan dan berehat buat seketika.

Menerusi syarikat pengurusannya, Prokuya Studios, Fendy dikatakan mengalami sakit kepala teruk sebelum badannya lemah.

Jelas pemilik Prokuya Studios, Fadzil Zahari, dia juga memohon maaf berikutan masalah kesihatan yang dialami artisnya itu memandangkan temu janji pelakon tersebut dengan pihak media juga terpaksa dibatalkan sehingga keadaannya kembali pulih seperti sediakala.

“Pertama sekali saya ingin memohon maaf kepada pihak wartawan yang telah membuat temujanji untuk menemuramah Fendy namun terpaksa dibatalkan pada saat akhir.

“Begitu juga dengan pihak wartawan yang tidak mendapat maklum balas daripada Fendy sama ada melalui aplikasi WhatsApp mahupun panggilan telefon. Malah kami juga terpaksa batalkan kehadiran Fendy di beberapa lokasi promosi #DramaMrGrey.

“Ini kerana Fendy mengalami sakit secara tiba- tiba ketika hampir habis menjalani penggambaran #DramaMrGrey di Melaka dan Kuala Lumpur awal April yang lalu hingga ke hari ini,” kongsi Fadzil melalui aplikasi WhatsApp kepada Utusan Online.

Menurut Fadzil, Fendy kini sedang berehat untuk menjalani rawatan dan pelakon kacak itu turut berterima kasih kepada peminat yang mendoakan kesihatannya.

“Fendy sedang menjalani rawatan dan dia mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepada peminat yang sentiasa menyokong dan mendoakannya,” kata Fadzil lagi.

Sementara itu, Drama Mr Grey yang sedang ditayangkan di Astro Ria merrupakan penampilan pertama Fendy sebagai watak utama. Selain Fendy, drama ini turut menampilkan pelakon cantik Eyra Hazali. - UTUSAN ONLINE