Menerusi pendedahan yang dibuat oleh saluran CNN, Freeman dikatakan berkelakuan tidak senonoh terhadap sekurang-kurang lapan orang wanita yang terdiri daripada wartawan hiburan dan kru di stesen televisyen berkenaan.

Menurut laporan berita yang dikeluarkan, Freeman telah menyingkap skirt seorang pembantu produksi dan bertanya sama ada wanita itu memakai seluar dalam atau tidak.

Malah perbuatannya itu pernah ditegur oleh seorang pelakon iaitu Alan Arkin.

Pembantu produksi itu mendakwa, hampir setiap hari pelakon veteran itu mengganggunya sama ada secara perbuatan mahupun percakapan.

Turut dibongkarkan, bintang Now You See Me itu sering merenung buah dada wanita di set penggambaran selain dengan sengaja menghimpit mereka jika mengambil gambar secara berkumpulan.

Pun begitu, CNN menemubual puluhan lagi individu yang pernah bekerja dengan atau untuk Freeman namun segelintir mereka memuji aktor berkenaan dan menegaskan dia biasanya berkelakuan profesional. - UTUSAN ONLINE