Berkata kepada Utusan Online, dia yang pernah popular menerusi iklan komersial Celcom dengan cogan kata “Awak Nampak Birulah” sekitar tahun 90-an tidak menjangka masih ramai yang mengingati lakonannya itu.

“Masa itu saya masih lagi berada di bangku sekolah. Lepas tamat zaman persekolahan, saya fokus dengan urusan perniagaan keluarga.

“Baru dua tahun kebelakangan ini kembali aktif berlakon kerana tak dinafikan, saya amat mencintai bidang ini,” katanya.

Mona berkata demikian ketika ditemui usai sidang akhbar majlis pelancaran telenovela Monalisa yang diadakan di Pullman Putraja Lakeside, di sini semalam.

Selain Mona, turut membintangi drama sebanyak 80 episod terbitan Radius One itu ialah Nazim Othman, Zara Zya dan Hafreez Adam.

Mengulas lanjut tentang lakonannya dalam telenovela arahan Shahrulezad itu, dia bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk menggalas watak utama bergandingan dengan Zara dan Nazim.

“Saya dapat rasakan, Monalisa mampu menonjolkan kredibiliti lakonan saya sebaik-baiknya di bawah arahan pengarah yang cukup berpengalaman.

“Tambahan pula, sebagai rakan pelakon, Zara dan Nazim juga memainkan peranan dalam membantu menyerlahkan watak saya yang menggunakan nama sendiri iaitu Mona,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE