Bertemakan Tomok vs Black-In The Spotlight, duo dinamik itu tidak mensia-siakan janji yang diungkapkan sebelum ini yakni mahu memberi persembahan terbaik dan diingati melewati ke tahun-tahun yang akan datang.

Kemunculan Black membuka tirai pentas berpestij itu dengan lagu Mana Mungkin mengundang tepukan gemuruh 900 penonton pada malam tersebut.

Lontaran vokal penyanyi berusia 31 tahun itu usah dipertikaikan sementelah pernah menjuarai program realiti Mentor musim ketiga, maka tidak hairanlah kanvas seni Black semakin bersinar.

Dia terus membuai emosi peminatnya dengan seleksi lagu-lagu antaranya Leia, Kau Pergi Tanpa Relaku dan Sofea Jane.

“Selama 10 tahun bergelar penyanyi, saya masih tak percaya kaki ini dapat berdiri megah di atas pentas DFP.

“Apa pun, saya dan Tomok tidak akan berada di sini tanpa sokongan kalian semua yang tak jemu menjadi tulang belakang kami,” kata Black dengan nada sebak sambil turut berterima kasih kepada DFP yang memilih mereka untuk bersama meraikan sambutan ulang tahun ke-20 pentas penuh berpestij itu.

Tidak mahu berlama-lama lagi, Tomok muncul dengan menghidangkan seleksi lagu seperti Cuba Cuba, Hiasan di Laman Rindu, medley Rindu Terhenti dan Aku Datang, Khilaf serta Qyiam.

Penyanyi yang memulakan langkah pertama dalam dunia seni suara sewaktu bersama New Boyz pada 1999 sebelum bergerak solo, mengabadikan malam itu dengan alunan lagu-lagu yang pernah menjadi fenomena satu ketika dahulu.

Malah, Tomok yang kini berusia 34 tahun ‘membuka rahsia’ yang tidak pernah dikongsikan kepada sesiapa saat mengimbas kembali kenangan lucu.

“Rasa macam berada pada 1999 pada malam ini. Saya nak hiburkan peminat dengan lagu-lagu New Boyz.

“Ada satu insiden yang agak melucukan, van yang kami naiki sewaktu membuat persembahan hampir terbalik kerana diserbu peminat. Yang kelakarnya, peminat itu semuanya wanita. Saya percaya ada di antara mereka itu berada di dalam dewan ini,” katanya sambil disambut sorakan peminat wanita.

Tomok turut menitipkan pesanan untuk percaya pada angan-angan dan terus berusaha demi sebuah impian. Bermula hanya sekadar seorang budak dari Flat Sri Kota, Cheras, dia akhirnya mencapai kejayaan hasil keringat sendiri sehingga berpeluang menginjakkan kaki di pentas DFP.

“Selama 19 tahun perjalanan dalam dunia seni, saya sudah mula rasa agak letih. Sebenarnya saya lebih selesa bergerak secara berkumpulan, cuma jodoh tidak lama dengan New Boyz, jadi ia terhenti separuh jalan.

“Jujurnya saya sudah penat menyanyi seorang diri. Saya mahu ahli kumpulan New Boyz tahu saya setia menanti mereka,” kata Tomok yang juga membawakan lagu Luka Mu Luka Ku Jua, Marah Bukan Sifatku, Bekas Kekasih, Meraung, Sejarah Mungkin Berulang dan Berlari.

Black dan Tomok berpadu suara menerusi medley Norkia dan Dewi Aleeya sebelum Black mengambil alih semula pentas dengan lagu Pondok Usang, Seruan Mu, Teman Pengganti, dan Pok Pet.

Aku Rindu Sayang Kamu, Takkan Berpisah dan Anugerah Terindah turut menjadi pilihan penyanyi yang memiliki nama penuh Hanifah Hanafiah menghiburkan konsert yang berlangsung selama dua jam.

Menutup tirai dengan lagu single duet berjudul Rempuh, duo dinamik itu tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada peminat yang hadir tanda sokongan buat mereka.

Gambar Ihsan Dewan Filharmonik Petronas