ERMA FATIMA akan ke Las Vegas bagi penggambaran filem terbaharunya pada Disember ini.

Menurutnya, peluang itu diambil ketika dia menyertai Couture Fashion Week New York dan menggunakan kesempatan itu untuk bertemu dengan Joyah Vegas.

“Saya ke sana pada 8 September lepas dan memang mahu ke Las Vegas untuk berjumpa dengan Joyah sebab sangat tertarik dengan kisah dia yang memiliki 10 buah apartment di sana.

“Perancangan asal untuk buat drama mengenai dia tetapi melihat perwatakan dia yang cukup ceria membuatkan saya terfikir untuk membuat satu telemovie berjudul Mok Cun vs Joyah Vegas.

“Bila saya tawarkan untuk dia berlakon, dia terima dan kami akan kembali ke Las Vegas untuk melakukan pengambaran pada Disember hujung tahun ini,” jelasnya.

Joyah Vegas atau nama sebenarnya Pon Jumat adalah anak kelahiran negara yang dikenali ramai kerana berjaya membina perniagaannya di Amerika Syarikat.

Terdahulu, Erma sempat berkongsi pengalamannya sepanjang terlibat di Couture  Fashion Week New York melalui program Malaysia Fashion & Business Mission To New York yang dianjurkan oleh Peniagawati Malaysia.

Tambah Erma, sambutan yang diberikan di sana sangat baik dan dia sendiri turut berpuas hati dengan perjalanan keseluruhannya di sana.

“Selepas pertunjukan fesyen di New York, saya akan ke satu pertunjukan fesyen iaitu di Beverly Hills Islamic Modest Fashion Week pada hujung tahun ini,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE