MOJO ubah gimik

Ryan Brakhma vokalis baharu menggantikan tempat Aweera

Anggota Mojo yang terdiri daripada (dari kiri) Johar, Denny, Ryan
Anggota Mojo yang terdiri daripada (dari kiri) Johar, Denny, Ryan dan Edry.

LANTARAN penarikan diri Aweera daripada menyertai kumpulan Mojo bagi persaingan pentas sebuah pertandingan lagu pada minggu hadapan, akhirnya Ryan Brakhma diumumkan sebagai pengganti vokalis itu.

Selaku pengasas Mojo, Edry Abdul Halim ketika ditemui berkata, pemilihan Ryan yang datangnya dari Jakarta, Indonesia itu adalah tepat memandangkan keunikan vokalnya yang mengagumkan ahli kumpulan yang lain.

Ditambah pula, menurut Edry, perancangannya untuk membawa kumpulan tersebut merantau ke seluruh pelosok Nusantara dilihat semakin realistik dengan kehadiran Ryan untuk menjelajah ke Singapura, Brunei dan Indonesia selain Malaysia.

“Ryan memiliki suara bersifat universal serta dinamik. Kami yakin, dengan adanya Ryan, Mojo akan mendapat nafas baharu dan membuka peluang kepada kami untuk melangkah lebih jauh.

“Penyertaan anggota yang berasal dari pelbagai negara juga merupakan strategi kami untuk bertahan lama bukan sahaja di arena muzik tempatan, bahkan ke persada seni serantau,” katanya dalam sidang akhbar khas pengumuman vokalis baharu kumpulan itu di Hard Rock Cafe, di ibu kota baru-baru ini.

Edry turut memberitahu, Ryan dipilih daripada beberapa nama yang telah diuji bakat sama ada melalui pita demo mahupun yang hadir terus ke KRU Studios.

Namun, setelah beberapa sesi uji bakat diadakan, jelas anggota KRU itu, dia mendapat ramai penyanyi baharu yang terlalu meniru gaya dan persembahan Aweera, sekali gus tiada identiti sendiri.

“Kemudiannya, Denny yang merupakan pemain gitar kami memperkenalkan Ryan kepada saya dan Johar (pemain dram) menerusi pita demo yang dihantar kepadanya.

“Setelah mendengar vokal Ryan, kami sebulat suara bersetuju memilihnya. Lebih memeranjatkan, Ryan bukan sekadar tahu menyanyi lagu-lagu Mojo, tetapi turut memahami perjuangan muzik kami.

“Genre rock klasik yang menjadi taruhan Mojo diselaminya sendiri disebabkan minatnya terhadap bidang muzik. Itu yang membuatkan Ryan mempunyai pakej bonus untuk dipilih,” katanya.

BAGI Ryan pula, dia bersyukur kerana rakaman suara yang dibuat pada dasarnya sekadar suka-suka memberi tuah buatnya untuk diserap sebagai vokalis utama Mojo.

Katanya, sejak Denny menyertai Mojo tiga tahun lalu, sahabatnya itu sering berkongsi perkembangan karier muziknya di Malaysia. Secara tidak langsung, Ryan berminat untuk mengikuti perkembangan kumpulan berkenaan.

“Dari detik itu, saya merasakan Mojo ada keistimewaannya dalam memperjuangkan genre muzik yang lain daripada biasa. Jalur rock klasik adalah sesuatu yang jarang diketengahkan.

“Tetapi ia menjadi teras muzik yang dipersembahkan Mojo, sekali gus menambahkan ciri keunikan terhadap kumpulan ini. Itu yang membuatkan saya menjadi salah seorang peminat Mojo dari kejauhan. Tidak disangka, akhirnya saya adalah salah seorang daripada ahli Mojo pada hari ini,” jelasnya panjang lebar.

Ryan dan Denny sebelum ini pernah terlibat dalam sebuah projek di Jakarta sebelum kumpulan itu dibubarkan.

Pada masa yang sama, Ryan tidak bimbang sekiranya peminat akan membuat perbandingan antara dirinya dengan Aweera kerana menganggap ia perkara biasa dalam sesuatu perubahan.

Jelasnya, setiap penyanyi ada kelebihan masing-masing dan berharap peminat dapat mengesan keunikan yang ada pada dirinya.

“Menyertai Mojo dan dapat mengembangkan kerjaya di Malaysia adalah impian yang menjadi kenyataan kerana saya cemburu apabila melihat Denny berpeluang beraksi di negara ini selepas kumpulan kami dibubarkan.

“Biarpun sedar akan ada perbandingan dibuat namun saya optimis bahawa peminat dapat menerima kehadiran saya bersama Mojo,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Edry memberitahu bahawa Mojo terpaksa merubah beberapa gimik sempena pertandingan yang bakal dihadapi tidak lama lagi disebabkan perubahan yang berlaku terhadap ahli kumpulan tersebut.

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Latest

Lagi Artikel Hiburan
Anda juga mungkin meminati