Menurut Presidennya, Syed Muhammad Imran SN Syed Abdul Aziz, cadangan berkenaan merupakan antara kandungan dalam memorandum persatuan berkenaan yang akan dikemukakan kepada Perdana Menteri pada Rabu ini.

Syed Muhammad Imran berkata, seandainya cadangan dipersetujui oleh kepimpinan negara, PSUAM bersedia mengagihkan kemudahan PPR itu kepada anak-anak seni secara berperingkat.

Dalam cadangan berkenaan, Syed Muhammad Imran berkata, PSUAM turut menggariskan kriteria mereka yang layak untuk memohon PPR termasuk karyawan yang bekerja di hadapan kamera atau belakang tabir.

Syed Muhammad Imran berkata, dalam memorandum itu juga, pihaknya turut mengemukakan cadangan pembayaran royalti kepada golongan artis terutamanya golongan pelakon yang drama atau filem lakonan mereka sering diulang tayang di kaca televisyen tanpa sebarang pendapatan diterima.

“Seringkali kita tengok drama disiarkan berkali-kali di televisyen tapi pelakon tidak dapat imbuhan, sedangkan stesen berkenaan mendapat pendapatan daripada pengiklanan.

“Perkara ini sudah lama berlaku, saya harap di masa akan datang pelakon dan sesiapa saja yang terlibat dalam sesuatu produksi mendapat imbuhan,” katanya pada Utusan Online baru-baru ini.

Selain itu, jelas Syed Muhammad Imran, pihaknya juga ada mencadangkan agar anak-anak seni diberi peluang menjadi usahawan menerusi geran daripada pelbagai pihak.

Malah pihaknya juga memohon agar karyawan seni terutamanya golongan penerbit yang memperoleh surat kelulusan daripada stesen televisyen diberi kemudahan pinjaman daripada bank-bank.

“Sebenarnya kami ada 14 memorandum untuk diserahkan kepada Perdana Menteri dan berharap akan mendapat perhatian pihak beliau. Insya-Allah, pihak kami akan cuba menjadikan memorandum ini kenyataan,” katanya.

Pihak PSUAM yang mewakili setiap anak seni tanpa mengira bangsa dan agama turut memberi usul agar waktu kerja (penggambaran) tidak melebihi 10 jam dan menjadikan irama Malaysia sebagai asas penting untuk diputarkan semula di seluruh stesen radio dan televisyen.

Pada pertemuan itu juga, Syed Muhammad Imran menyatakan bahawa PSUAM akan mengadakan Fiesta Usahawan Anak-Anak Seni Negaraku yang akan diadakan pada bulan Mac nanti di lokasi yang bersesuaian.

“Sempena Fiesta Usahawan Anak-Anak Seni Negaraku yang akan berlangsung selama dua hari (Sabtu dan Ahad), sebanyak 1,000 kiosk percuma akan diberikan kepada anak-anak seni untuk berniaga.

“Pihak kami juga mahu menjadikan fiesta ini satu program yang memberi manfaat kepada anak-anak seni dan sekali gus mencipta sejarah tersendiri,” katanya. - UTUSAN ONLINE