Namun dalam acara tersebut, tidak terlihat bekas suami Moa, Irwan Chandra yang juga merupakan ahli kumpulan HITZ. Ternyata Irwan tidak diundang kerana Moa punya alasan tersendiri untuk tidak mengundang bekas suaminya itu.

Menurut penyanyi tersebut, bekas suaminya itu yang kini aktif dengan pelbagai kegiatan di gereja dan telah melakukan provokasi terhadap dirinya.

“Ya, memang Irwan Chandra tidak diundang. Provokasi yang dilakukannya itu membuatkan saya dan Lee berfikir berulang kali untuk mengundangnya. Jadi setelah di fikir sedalam-dalamnya, kami putuskan tidak perlu untuk menjemputnya menghadiri majlis ini.

“Jika sebelum ini, saya ada meminta kebenaran daripada Lee untuk mengundangnya. Tetapi dua hari sebelum majlis, Irwan datang bertemu pendeta yang terlibat dalam majlis perkahwinan kami dan menceritakan sejarah kegagalan perkahwinan saya dan dia dahulu. Intipati ceritanya ada sedikit provokasi,” tambah penyanyi berusia 28 tahun ini.

Irwan Chandra melakukan kebohongan dengan menyebut ada hartanya yang masih dibawa oleh bekas isterinya. Seperti yang diketahui, Irwan dan Moa sebelum ini pernah berkahwin namun ikatan terlerai pada 2012 setelah enam tahun bersama.

“Tetapi nasib baik pendeta tidak termakan pembohongan yang dilakukannya. Dia mengatakan duitnya masih ada pada saya sebanyak RM3 juta. Tidak mungkin sama sekali. Kehidupan saya dan dia pada perkahwinan kami sebelum ini biasa-biasa sahaja. Bulan madu pun tak pernah ada, mana mungkin ada duit sebanyak itu,” ujar Moa sambil tertawa.

Berbicara tentang majlis perkahwinannya ini, pasangan sama cantik sama padan ini gembira kerana majlis yang berlangsung berjalan dengan lancar dan akhirnya mereka selamat bergelar suami isteri setelah bercinta selama tiga tahun.

Sebelum ini, kisah cinta mereka pernah dihalang oleh orang tua kedua-dua belah pihak namun akhirnya mereka mampu menarik nafas lega.

“Ibu dan ayah dulu tidak bersetuju saya bercinta dengan Moa. Sama juga ibu dan ayah Moa juga tidak menyukai saya. Tapi setelah memujuk dan bersabar akhirnya kami dapat juga bersama. Ini suatu perkara yang tentunya sangat membahagiakan buat saya.

“Saat upacara meminta restu daripada mereka berlangsung baru-baru ini, ternyata air mata kami mengalir laju kerana berasa begitu terharu. Semoga perkahwinan ini akan kekal bahagia sehingga ke akhirnya,” kata Lee, 31 usai majlis perkahwinan mereka.

Terdahulu pasangan ini pernah terpalit isu kecurangan apabila Moa dan Lee menjalinkan hubungan cinta ketika Moa masih lagi bergelar isteri kepada Irwan Chandra. Menghangatkan lagi apabila Irwan turut mempunyai bukti kecurangan keduanya. Lee merupakan rakan Irwan dalam kumpulan HITZ.

Tunda bulan madu

Disebabkan kedua-duanya terikat dengan jadual kerja yang ketat, pasangan bahagia ini mengambil keputusan untuk menunda bulan madu. Namun dalam masa yang sama mereka sedang mencari tarikh sesuai untuk menghabiskan masa bersama-sama di sebuah destinasi yang belum ditetapkan lagi.

“Saya akan ke tempat penggambaran dan Moa pula akan menyambung semula penggambaran dia yang terhenti. Jadi kami tidak boleh berhibur dahulu. Saya sibuk dengan mesyuarat bersama wakil daripada Korea untuk projek terbaru yang masih dalam perbincangan,” ujar Lee yang tidak sabar untuk menimang cahaya mata.

Dalam perkembangan terbaru, Lee yang merupakan artis kelahiran Korea tampil menjadi model dalam sebuah klip video lagu dangdut. Ternyata ia agak berlainan kerana sebelum ini dia tidak pernah terbabit dalam aliran muzik tersebut.

“Menjadi model dalam sebuah video klip hal yang biasa bagi saya tetapi kali ini merupakan pengalaman baru. Saat ditawarkan jadi model, saya terkejut. Biasanya saya yang mengundang artis untuk jadi model dalam klip video saya tapi kali ini saya pula yang jadi model.

“Tambahan pula saya tidak begitu tahu tentang dangdut. Apalagi dangdut dan muzik saya agak jauh. Saya lebih kepada pop. Tetapi setelah saya dengar lagu pendatang baru bernama Ikke Putri ternyata lagunya tak kurang hebatnya. Saya bekerja secara profesional dan kenapa tidak mencuba sesuatu yang baru,” ujarnya.