"Saya memuat naik video lirik itu pada 27 Mac lalu, namun kerana audionya kurang memuaskan mungkin kerana masalah teknikal, saya padam dan muat naik semula pada 29 Mac lalu.

"Walaupun saya kehilangan lebih 100,000 tontonan, tidak mengapa kerana saya tak mahu penonton menonton video lirik dengan audio yang tidak berkualiti," katanya kepada Utusan Online.

Menurut penyanyi berusia 26 tahun itu, dia mahu video tersebut bertahan lama dan akan ditonton walaupun selepas beberapa tahun.

Malah, jelas Ernie lagi dia ada berbincang dengan pihak pengurusan labelnya, FMC Music tentang isu terbabit.

"Pengurusan saya kata tiada ada masalah dan mereka setuju untuk memuat naik semula video itu dengan kualiti yang lebih baik," katanya ditemui di majlis ramah mesra bersama kelab peminatnya, Ernienators di Bukit Kiara Resorts.

Sehingga kini, video lirik lagu ciptaan Gouffran dan Sang Hitam yang dimuat naik semula itu ditonton lebih 35,000 penonton di YouTube. - UTUSAN ONLINE