Maklumlah peminat masing-masing suka tengok mereka menjadi pasangan kekasih, namun yang empunya diri pula tatkala ditanya sering menjawab, mereka hanya kawan. Namun ada ketikanya jawapan yang diberi bertentangan dengan ‘bahasa tubuh’ masing-masing.

Orang luar hanya dapat memerhati pergerakan mereka kerana apa yang tersirat di hati masing-masing hanya mereka yang tahu sama ada benar-benar bercinta atau sebaliknya.

Mira Filzah, 24, ketika ditanya status hubungan dengan Zizan, jawapannya masih tetap sama iaitu sebagai kawan artis sahaja dan tidak lebih daripada itu.

“Antara saya dan Zizan tidak ada cinta, kami hanya kawan artis saja. Setakat ini saya masih tidak jemu untuk menjawab soalan sebegitu. Nak kata rimas, tak juga sebab saya yang pilih untuk membabitkan diri dalam bidang ini.

“Apa yang saya dapat lihat sekarang ini, peminat suka memadankan artis ini dengan artis itu. Buktinya, ramai peminat yang suka melihat jika Fattah Amin bercinta dengan Neelofa hingga diwujudkan #Loffattah.

“Satu lagi pasangan yang peminat nak lihat mereka bersatu ialah Ayda Jebat dengan Redza Rosli. Bagi saya kisah cinta begitu sebagai satu trend masa kini yang dimahukan oleh peminat, pada hal artis tak ada apa-apa pun. Sebenarnya, apa yang dibuat oleh peminat itu, ada baiknya kerana secara tidak langsung dapat mempromosi produk yang dijayakan oleh artis berkenaan,” katanya.

Mira atau Nur Amirah Filzah Badioezaman berkata, dia tidak menolak jika ditakdirkan bertemu jodoh dengan orang kalangan seni atau sebaliknya kerana itu semua urusan Allah.

“Saya jenis berkawan dengan sesiapa sahaja dan mungkin disebabkan itu, saya sering dikaitkan rapat atau bercinta dengan artis lelaki. Pada hal itu atas urusan kerja kerana buat masa sekarang saya belum fikir soal jodoh secara serius.

“Biarlah saya tumpukan perhatian pada kerjaya lakonan dan perniagaan yang diusahakan ini dulu. Banyak perkara yang perlu dilakukan. Tambah-tambah bulan Ramadan dah dekat ini, tumpuan saya lebih kepada perniagaan. Itulah kalau boleh sepanjang bual puasa ini saya nak rehat daripada berlakon,” katanya yang kali terakhir menjalani penggambaran telefilem OPs Cinta Din Sardin bersama Izzue Islam.

OPS Cinta Din Sardin arahan Nazir Jamaluddin itu merupakan kesinambungan daripada telefilem Din Sardin itu turut menampilkan pelakon Niena Baharun dan Bell Ngasri.

Dalam pada itu, dia juga bakal muncul dalam telefilem Dosa Perempuan, arahan Murali Abdullah yang menampilkan dia sebagai Tasha. - Gambar AHMAD MUZAMMIL HAFLAN

Tumpu bisnes masa Ramadan

MENJELANG Ramadan ini, Mira Filzah mahu tumpukan perhatian pada perniagaan berbanding kerjaya seni. Katanya, biarpun bisnes tudung MF Shawls ada yang mengurus, namun dia perlu ada kerana pada bulan puasa, permintaan meningkat.

“Sekarang ini saya sibuk menghasilkan beberapa koleksi baharu tudung untuk Ramadan ini. Biasalah tiap kali puasa mesti ada koleksi baharu. Kali ini MF Shawls akan tampil dengan 18 koleksi baharu. Biarpun perniagaan tudung saya tidak dijual di kedai tapi MF Shawls ada pengikutnya tersendiri.

“Bagi saya berniaga menerusi dalam talian lebih menguntungkan sebab tidak perlu bayar sewa kedai, cuma rumit sikit sebab perlu menguruskan pembungkusan dan penghantaran. Disebabkan itu, sempena Ramadan ini saya perlu serius pada perniagaan.

“Pada waktu yang sama saya juga perlu memperkukuh produk kosmetik, Mora Essential,” katanya yang mempunyai lebih daripada 100 stokis untuk tudung.

Jelas Mira, dia tidak mahu mengharapkan rakan perniagaan menguruskan segalanya kerana sebagai pemilik bersama, dia mahu tahu perjalanan bisnes yang diusahakan.

“Untuk memastikan bisnes berjalan lancar, saya perlu ambil tahu dari A sampai Z tanpa mengharap pada orang lain. Disebabkan tiap kali Ramadan, kesibukan akan berganda, itu yang saya mahu ‘berehat’ daripada penggambaran,” katanya.