You And Me dianggotai enam anak muda iaitu Eddy (gitar), Amir (gitar), Bard (gitar), Tuah Johari (keyboard/gitar), Din (keyboard/gitar) dan Azrul (cajon/dram). Mereka mempunyai kemahiran menyanyikan lagu dalam tujuh bahasa iaitu bahasa Melayu, Indonesia, Mandarin, Hindi, Inggeris, Arab dan Sepanyol.

Gelagat mereka yang ‘gila-gila’ menarik perhatian pengunjung dari dalam dan luar negara yang lalu di kaki lima berdekatan Hotel Federal dan Restoran PappaRich di kawasan membeli-belah serta hiburan terkemuka ibu negara itu.

Amir selaku ketua band berkata, pada peringkat awal, You And Me bergerak secara solo sebelum menerima anggota lain secara berperingkat-peringkat.

“Busking pertama kami di Bukit Bintang sebagai sebuah band lengkap enam orang adalah pada Julai lalu.

“Maksud You And Me adalah ‘penonton dan penghibur’ yang menunjukkan persembahan muzik menjadi menarik disebabkan kehadiran dua pihak tersebut,” katanya yang memberitahu lokasi berdekatan Hotel Federal dan Restoran PappaRich dipilih kerana kurang kehadiran buskers di sana.

Katanya, kelainan yang terdapat pada You And Me berbanding buskers lain adalah keenam-enam anggota boleh bermain instrumen sambil menyanyi lagu dalam pelbagai bahasa apabila diminta pengunjung, selain sifat ‘gila-gila’ dan harmoni setiap anggota.

“Kebanyakan buskers hanya mempunyai seorang vokalis dan tidak boleh menyanyi lagu dalam banyak bahasa seperti kami. Lebih menarik, kami juga boleh menyanyi pelbagai dialek seperti Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu,” katanya.

Sementara itu, pengalaman menarik You And Me sepanjang membuat persembahan sejak lima bulan lalu adalah pelancong yang peramah turut mengambil peluang menyanyi dan menari bersama-sama, sekali gus menggamatkan suasana kawasan tersebut.

“Pelancong terutama dari luar negara sangat peramah. Mereka akan menyanyi dan menari bersama kerana itu dianggap sebagai pengalaman menarik di negara yang dilawati dan ia juga boleh dimuat naik dalam laman sosial seperti Instagram dan Facebook.

“Sekiranya, kami menyanyikan lagu popular dari negara mereka atau dalam bahasa mereka, mereka lebih berasa seronok dan menghargainya,” tambah Amir yang memberitahu .com bahawa pendapatan kasar yang diperolehi mereka setiap hari sekitar RM250 hingga RM500.

Selain itu, persembahan muzik secara buskers berbeza dengan persembahan muzik di pentas-pentas besar kerana mereka lebih dekat dengan rakyat tempatan dari pelbagai lapisan masyarakat.

Ujarnya, You And Me akan mula busking pada pukul 9.00 malam hingga 1.00 pagi kerana itu adalah waktu kemuncak ramai pengunjung mula melepak di tangga-tangga sepanjang kawasan tersebut.

Tambahnya, You And Me juga membuat persembahan di majlis-majlis keraian atau festival sekiranya mendapat permintaan daripada penganjur.
– DHIYA’ZULHILMI DAUD/NOOR AZLINA JAAFAR

Facebook: You And Me Buskers

Twitter: You And Me Buskers

YouTube: You And Me Buskers

WhatsApp: 011-20458462/013-3595023

INFO: