Minho yang bakal menganggotai kumpulan SHINee mahu membuktikan keberanian bagi menunaikan khidmat latihan ketenteraan seperti mana pemuda Korea lain sebelum mencecah usia 30 tahun.

MINHO
MINHO

Minho yang berasal dari daerah Michuhol, Incheon dijangka berangkat dan mula mendaftarkan diri di kem latihan tentera pada pertengahan April ini.

Bagaimanapun, dia sedang menanti keputusan permohonannya untuk menyertai unit polis marin selepas membuat permohonan pada Januari lalu.

Setidak-tidaknya dia boleh meletakkan harapan kerana berdasarkan penilaian awal, Minho lulus peperiksaan pusingan pertama. Kini dia menantikan keputusan sesi lisan dan peperiksaan fizikal.

Pihak pengurusannya, SM Entertainment mengesahkan perkara tersebut.

“Benar, anggota SHINee iaitu Minho telah memohon untuk menyertai pasukan polis marin. Dia kini menanti keputusan penuh,” kata wakil agensi tersebut menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, rata-rata peminat memuji keberanian Minho atas keputusannya itu. Seperti yang diketahui warganet Korea, pasukan polis marin adalah divisyen paling sukar dan mencabar dari segi khidmat dan latihan yang akan dijalani.

Bahkan untuk seseorang itu berjaya disenaraikan sebagai anggota pasukan berkenaan juga bukan mudah kerana sesi pemilihannya sangat teliti dan berdasarkan calon yang benar-benar layak sahaja.

Begitu pun, sepanjang tempoh 21 bulan ketiadaan Minho dalam industri hiburan nanti, peminat akan ‘ditinggalkan’ dengan filem terbaru lakonannya bertajuk Jangsa-ri 9.15. Dia juga sudah siap merakamkan single solo pertamanya bertajuk I’m Home yang akan dilancarkan menerusi saluran muzik digital, SM Station pada 28 Mac ini.

Disebabkan Minho, Key dan Onew menjalani latihan ketenteraan tahun ini, bermakna SHINee dijangka kembali semula dengan empat anggota sekitar Disember 2020. Anggota paling muda, Taemin dijangka memulakan latihan khidmat ketenteraan pada 2021.

JAEJOONG terus digilai peminat di Jepun.
JAEJOONG terus digilai peminat di Jepun.

Jaejoong pecah rekod majalah terlaris Jepun

Penyanyi dan pelakon kegilaan ramai, Jaejoong sekali lagi membuktikan popularitinya di Jepun sehingga kini masih bertahan.

Dia yang sudah belasan tahun terjun ke dunia hiburan di sana, tidak kalah dengan bintang-bintang muda yang sedang melonjak naik.

Penampilan anggota kumpulan JYJ ini menghiasi majalah Nylon edisi Mei 2019 telah memecah rekod penerbitan majalah di Negara Matahari Terbit itu sebagai majalah terlaris sepanjang zaman.

Menerusi laman sesawang Amazon Jepun, bahan bacaan hiburan itu terus mendapat sambutan hangat dan laku bak goreng pisang panas sejak tempahan awal dibuka pada 12 Mac lalu.

Pada hari yang sama juga, rekod jualan menerusi satu lagi laman sesawang Rakuten mencatatkan majalah tersebut berada di tangga nombor satu penjualan.

“Artis Korea yang telah menawan wanita di seluruh dunia, Kim JaeJoong membuat penampilan pertamanya sebagai penghias muka depan Nylon Jepun,” tulis wakil penerbitan majalah tersebut dalam media sosial.

Dengan mengusung tema `The Prince of the Forest’, potret pada majalah itu memaparkan Jaejoong memegang beberapa jenis buah seperti epal dan anggur.

Selama 16 tahun berada dalam industri hiburan, Jaejoong sinonim dengan gelaran sebagai ‘flower boy’ kerana ketampanan dan memiliki kulit wajah yang cantik. Ternyata julukan itu masih melekat walaupun usianya sudah mencecah 33 tahun.

Majalah ini akan berada dalam pasaran di Jepun mulai 28 Mac ini.


LEE MIN SOOK (kiri) didakwa antara penyebab Jang Ja Yeon membunuh diri.
LEE MIN SOOK (kiri) didakwa antara penyebab Jang Ja Yeon membunuh diri.

Kes bunuh diri Jang Ja Yeon disiasat semula

Biarpun sudah 10 tahun berlalu, tetapi kes kematian aktres cantik, Jang Ja Yeon sehingga kini masih menjadi misteri.

Ketika ini masyarakat di Korea mendesak pihak berkuasa mendedahkan penyebab kematian bintang drama Boys Over Flowers itu sehinggga sanggup mengakhiri hidupnya dengan tragis.

Sekumpulan penasihat dari Jabatan Pendakwa Raya memohon untuk kembali membuka fail kes kematian Jang Ja Yeon.

Permohonan tersebut disokong penuh oleh aktres Yoon Ji Oh, rakan artis yang bernaung di bawah pengurusan yang sama dengan Jang Ja Yeon.

Menerusi akaun media sosial miliknya, Yoon Ji Oh telah mendedahkan maklumat tentang kematian seniornya itu. Dia mendakwa semasa hayat Jang Ja Yeon, selebriti itu telah menjadi mangsa gangguan beberapa individu berpengaruh dalam dunia hiburan Korea.

Seperti yang diketahui, sejak seminggu lalu dunia hiburan Korea kecoh dengan kes gangguan seksual termasuk kontroversi mengaitkan beberapa idola KPop terkenal yang terbabit dengan kegiatan pelacuran, rasuah, perjudian dan dadah.

“Saya sedih kerana selalu diabaikan, seperti bukan siapa-siapa dalam dunia hiburan ini.

“Saya Yoon Ji Oh, aktres yang tidak popular, juga diabaikan para wartawan,” tulis Yoon Ji Oh.

Pada kesempatan itu juga dia meminta para pengamal media agar kembali memberikan tumpuan kepada siasatan kes kematian sahabatnya itu.

Malah, dia turut menyeru rakan artis lain agar turut membantu memberi maklumat sahih atau paling tidak menyatakan sokongan dalam media sosial supaya kes tersebut dapat segera dibongkarkan sekali gus memberi keadilan kepada mendiang.

Sementara itu, Media Dispatch baru-baru ini mendedahkan rakaman menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan momen terakhir Jang Ja Yeon sebelum dia membunuh diri. Wanita itu meninggalkan dokumen.

Dalam dokumen setebal lebih 50 muka surat itu, dia mengaku dipaksa melakukan seks dengan 30 lelaki termasuk beberapa ahli perniagaan tersohor dan individu berpengaruh dalam industri hiburan.

Kandungan dokumen itu juga menyatakan aktres Lee Min Sook didakwa sebagai orang yang memaksa Jang Ja Yeon menandatangani perjanjian menyediakan perkhidmatan seksual.