Min atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz, 29, sebelum ini pernah mencuba nasib menerusi beberapa program realiti TV antaranya Jangan Lupa Lirik musim pertama dan Mentor 3. 


“Buat masa ini saya fokus kepada rangka promosi album saya di Manila memandangkan karier saya telah berkembang di sini. 


“Apabila sudah ada album sendiri, saya rasa tidak perlu lagi untuk bertanding dalam program nyanyian di Malaysia atau antarabangsa,” katanya ditemui dalam majlis pelancaran album Pangarap di Manila Polo Club, di sini hari ini. 


Album Pangarap memuatkan 14 buah lagu yang merangkumi lima bahasa iaitu Talalog, Tausug, Sama, Inggeris dan Melayu. 


Album tersebut mendapat sentuhan komposer terkenal, Julfekar serta tiga orang komposer Filipina iaitu Raz Tawasil Itum (Tagalog), Nelson Dino (Tausug) dan Andhee Basion (Sama).


Seramai lebih 50 orang wakil media dari Malaysia dan Filipina memeriahkan lagi suasana majlis pelancaran tersebut yang turut diserikan dengan persembahan lima buah lagu daripada Min Yasmin. 


Dalam pada itu, Min meluahkan hasrat untuk mengadakan konsert solo pertamanya di Filipina jika diberi peluang memandangkan namanya kini semakin mendapat perhatian peminat muzik di sini. 


“Memang menjadi impian saya untuk mengadakan konsert solo di sini. Buat masa ini belum ada rezeki saya. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana banyak jemputan persembahan yang saya terima daripada peminat di sini,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE.