Tambahan pula yang berlaku dalam mimpi yang dikatakan sebagai mainan tidur itu biasanya mustahil boleh terjadi dalam dunia nyata. Namun berbeza situasinya dengan aktres Amyra Rosli yang kini sarat mengandung lapan bulan mengenai kisah di sebalik mimpinya.

Kata isteri kepada pelakon Amar Baharin itu, sehari sebelum menjalani imbasan kandungan, pelakon yang popular menerusi drama bersiri Cik Bunga Encik Sombong tersebut telah bermimpi seorang budak kecil lelaki.

“Malam sebelum menjalani rutin pemeriksaan kandungan, saya ada memberitahu Amar yang saya ada termimpikan bayi lelaki dan keesokan harinya mimpi itu jadi kenyataan.

“Sebelum ini pun apabila melihat keadaan perut saya yang ‘tajam’ ke depan, ada ibu-ibu yang berpengalaman berkongsi tentangnya dan memberitahu bahawa saya mesti mengandung anak lelaki,” jelas Amyra teruja.

Bersyukur dengan fasa akhir kehamilan dirinya yang semakin sihat dan kuat, wanita berusia 26 tahun ini juga mengharapkan segala-galanya dipermudah menjelang proses melahirkan pada Oktober ini.

“Memang pada trimester pertama kehamilan saya mengalami alahan yang agak teruk sehingga berat badan turun dari 45 kilogram (kg) kepada 42 kg. Namun saya bersyukur bila masuk trimester kedua dan ketiga, keadaan menjadi okey.

“Malah semasa awal mengandung, saya lebih banyak berehat malah selalu rasa malas dan nak tidur sahaja. Tapi sejak kebelakangan ini saya semakin aktif dan banyak berjalan agar menyenangkan proses bersalin nanti.

“Dan sekarang berat badan saya yang tidak pernah mencecah 50 kg juga telah naik sehingga 53 kg. Rasa macam wow jugalah,” katanya yang baru-baru ini diraikan pada sebuah majlis baby shower di ibu kota. - Gambar AMIN FARIJ HASAN

Kawal nafsu belanja 

Jika si isteri teruja berkongsi kisah kehamilan, lain pula ceritanya dengan si suami yang mengakui mahu memastikan setiap kelengkapan bagi ‘orang baharu’ tersedia lengkap tanpa ada satu pun yang tercicir daripada senarai menjelang kelahirannya.

“Saya memang teruja mahu membeli barangan bayi tapi Amyra selalu berpesan kepada saya supaya berpada-pada kerana dia tidak mahu membazir. Sampai satu tahap apabila nampak kereta dorong bayi di pusat beli-belah pun terasa gatal tangan nak beli.

“Tapi seperti saya katakan, Amyralah yang banyak ‘tahan’ saya malah rezeki anak, banyak pihak yang sudi menaja barangan bayi.

“Bercakap soal jantina, saya tak kisah kerana yang lebih penting adalah banyakkan berdoa agar semuanya selamat dan sempurna,” kata Amar Baharin.

Bakal bergelar bapa pada 25 Oktober ini, Amar, 32, turut mengakui, sukar untuk menggambarkan kegembiraannya pada kala ini malah dia tidak sabar menanti kelahiran anak sulungnya itu.

Malah menurut pelakon Cinta Di Langit Cardiff itu, dia juga ingin merasai pengalaman menemani isterinya di dalam bilik bersalin kelak.

“Bergantung pada situasi. Niat saya memang nak temankan Amyra di bilik bersalin dan mahu potong sendiri tali pusat bayi. Tapi takut jugalah kalau saya pula yang pengsan bila berada dalam bilik itu,” katanya sambil ketawa.

Bakal melahirkan bayinya di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur, Amyra atau Nur Amira Izzati Rosli tidak dapat menyembunyikan perasaan gementar menanti kelahiran namun dia tidak mahu terlalu membebani fikiran dengan aura negatif kerana bimbang akan memudaratkan kandungannya.

“Kalau nak tahu yang saya rasa sekarang ialah tak sabar (menanti kelahiran bayi) bercampur baur dengan perasaan gementar. Tapi kalau boleh untuk bulan-bulan terakhir ini, saya mahu gembira saja,” katanya yang akan berpantang selama 44 hari.