Biarpun ia bukan kenangan yang indah untuk disimpan, namun si cantik ini bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk merasai kegembiraan selepas itu.

“Syukur kepada Allah. Kehidupan saya sekarang lebih tenang. Bila kita niat dengan betul dan baik, Insya-Allah semuanya dipermudahkan. Masa tempoh sebulan saya tiada tawaran berlakon disebabkan kes itu, memang membuatkan saya jatuh tersungkur.

“Tapi saya percaya rezeki itu masih ada dan saya diterima kembali untuk berlakon. Pengalaman selama 11 hari direman, sehingga kini membuatkan saya masih lagi trauma walaupun ia sudah dua tahun berlalu. Setiap kali ada orang ketuk pintu atau bunyikan loceng, jantung saya mesti berdebar.

“Sebab itu saya berpesan kepada teman serumah. Sebelum balik, beritahu saya terlebih dahulu supaya tidak terkejut. Kami duduk rumah berdua sahaja dan dia pun memahami keadaan saya,” kata Mimi Lana sekaligus meminta kisah silamnya tidak diungkit lagi.

Menghormati permintaan dia, cerita kami beralih arah kepada perkembangan lain. Kisah drama Sekali Aku Jatuh Cinta yang drama pertama lakonannya selepas sebulan tanpa tawaran. Drama itu juga telah menemukan Mimi dengan pelakon Syafiq Kyle. Sejak bergandingan bersama, mereka menjadi semakin rapat dan Mimi juga mengakui dia suka Syafiq.

Malah, mereka dikatakan sedang hangat bercinta. Mimi ada memuat naik foto Syafiq berserta kapsyen emoji mata cinta di laman Instagramnya minggu ini. Ruang komennya dipenuhi peminat-peminat yang inginkan kepastian mengenai percintaan mereka.

“Ya, memang saya suka Syafiq Kyle dan dia lelaki yang paling rapat buat masa ini. Kami selalu berhubung di telefon dan beberapa kali keluar bersama. Tapi setiap kali jumpa, topik perbualan adalah mengenai lakonan. Tiada pula cerita mengenai perasaan.

“Antara kami tiada istilah kekasih atau bercinta. Memanglah saya kongsi foto Syafiq dengan kapsyen seakan bercinta tetapi ianya sekadar gurauan. Sebelum saya muat naik foto itu, saya ada beritahu Syafiq dan dia tidak kisah sebab tahu sekadar hanya suka-suka.

“Dia sangat memahami dan tidak pernah kisah cakap orang. Sebab hanya dia dan saya sahaja tahu. Kalau saya cakap tak bercinta pun, mesti ada saja yang cakap saya tipu. Jadi, biarlah orang nak kata apa. Tetapi sejujurnya, jika bercakap soal jodoh, saya tidak menolak jika Syafiq adalah jodoh saya. Namun, buat masa sekarang biarlah saya fokus kepada kerjaya yang baru dibina semula dan saya percaya cinta itu akan hadir dengan sendiri,” akui Mimi yang mengenali Syafiq Kyle selepas lelaki itu putus cinta dengan Uqasha Senrose.

Keluarga dan kerja

JIKA gadis-gadis seusianya sedang seronok menikmati waktu remaja, Mimi Lana hanya memikirkan tanggungjawabnya terhadap keluarga dan komitmen kerja. Gadis tinggi lampai ini juga tidak kisah kehidupan remajanya berbeza dengan orang lain.

“Keluarga bukan dari orang yang senang dan berada. Saya masih ada tanggungjawab terhadap keluarga dan perlu membantu ibu bapa. Mungkin remaja berumur 20-an masih seronok bersosial bersama kawan-kawan. Saya tak pernah rasa cemburu kerana sebelum ini saya pernah ada kehidupan seperti mereka.

“Tapi tidaklah sampai melakukan perkara-perkara yang tidak elok. Dulu saya suka lepak sampai lewat malam dan tidak kisah waktu tidur. Sekarang, kalau tidur lewat selepas pukul 12malam, keesokan hari mesti terlajak tidur.

“Selalunya jika ada penggambaran, saya keluar rumah seawal enam pagi dan pulang pada pukul 10 malam. Selepas itu, saya akan terus tidur. Bila dapat cuti lama pula, saya balik ke kampung di Taiping, Perak.

“Kalau cuti sehari dua, saya akan luangkan masa dengan berehat di rumah atau menonton filem. Badan cepat letih dan memerlukan rehat secukupnya supaya saya boleh berikan komitmen yang baik pada kerja.

“Jadi bila kawan-kawan ajak jumpa selepas habis penggambaran, saya akan tolak. Mereka faham dan tidak kecil hati bila saya tidak mahu keluar bersama,” akui Mimi yang sedang sibuk menjalani penggambaran drama 50 episod, Cinta Koko Coklat sehingga bulan Mei.

Ramai kawan lelaki

DALAM kehidupan seharian, Mimi akui dia lebih selesa berkawan dengan lelaki berbanding perempuan. Selain keluarga, kawan-kawan lelaki yang banyak bertanya khabar selepas dia mengharungi episod hitam.

“Antara lelaki dan perempuan, saya lebih ramai kawan lelaki. Kawan perempuan yang saya kenal dan rapat hanya beberapa orang sahaja, siap boleh dibilang dengan jari. Bukan sebab saya ini hanya ingin menggatal dengan lelaki tapi sebab saya tak reti nak mulakan perbualan dengan perempuan dan tak reti nak layan mereka.

“Mungkin sebab saya membesar dengan adik beradik lelaki, sifat dan perangai lebih kurang macam mereka. Saya lebih selesa berbual dan bergurau dengan kawan-kawan lelaki berbanding perempuan yang kadang-kadang perlu menjaga kata-kata supaya mereka tidak kecil hati.

“Kalau dengan lelaki, nak bergurau kasar mereka tak kisah dan tak simpan dalam hati pun. Ada sesetengah perempuan tak boleh terima bila kita nak bergurau. Nanti marah sampai ke sudah. Tapi ada juga kawan-kawan perempuan saya yang sekepala dan tidak kisah untuk bergurau,” ujarnya.

Mimi tak pernah berasa segan untuk berkongsi pengalaman pahitnya itu dengan kawan-kawan yang kenal rapat. Namun, ada juga yang ingin tahu hanya sekadar untuk menjatuhkannya. Sebab itu, Mimi lebih berhati-hati dalam memilih kawan.

“Sejak kejadian itu, saya memilih untuk berkawan, bukan kerana saya berlagak. Tapi bukan semua orang nak tengok kita gembira, ada juga yang ingin menjatuhkan kita. Kalau ada kawan-kawan yang dah kenal rapat bertanya, saya tak kisah dan tak segan untuk berkongsi pengalaman sepanjang direman. Kerana ianya bukan kesalahan saya dan pengalaman itu juga boleh menjadi pengajaran buat saya mereka. Syukur kerana ada keluarga yang memahami dan kawan-kawan yang sentiasa memberi sokongan. Mereka kenal dan tahu siapa diri saya,” kata pelakon berusia 22 tahun ini.