Ini termasuklah antologi puisi Sepi Itu Mati karya Pengurus Besar, Jabatan Penerbitan sosial, Politik & Ekonomi TV Al-Hijrah, Zainal Rashid Ahmad dan Isyarat Dalam Puisi serta Beta Belayar Ke Ambon Manise karya peneraju GTA, Marzuki Ali.

Turut dilancarkan ketika apresiasi masyarakat terhadap sastera makin dipersoal ialah antologi cerpen kanak-kanak Anak Wawasan karya Dr. Muhammad Irfan Nyia Abdullah dan sebuah novel, Sejernih Embun karya terbaharu Amran Abdullah.

Upacara yang menggunakan istilah ‘pelepasan’ buku-buku itu dan perasmian mesyuarat disempurnakan oleh Dekan Fakuliti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Selangor, Prof. Madya Tengku Shahrom Tengku Shahdan di Hotel TY, Kuala Terengganu baru-baru ini.

Berucap dalam majlis itu, Tengku Shahrom berkata, beliau amat menghargai pengalamannya bersama GTA sewaktu remaja, detik singkat namun banyak mengangkat wataknya kini.

“Melalui GTA, bukan sekadar mengasuh untuk menjadi pemain pentas yang bukannya bermain-main, tetapi menjadi lebih peka dengan alam dan kehidupan termasuk melalui dunia penulisan,”ujarnya.

Sepi Itu Mati memuatkan 56 buah puisi, catatan tiga kali hujung minggu hasil pengamatan Zainal Rashid di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) Kuala Lumpur.

Jalan yang sentiasa sesak dan hidup dengan rencam gelagat, dia melihat sepi dalam diri dan saat kematian namun sukar mencari makna metafora daripada gaya realisme magis ini.

Antologi puisi Beta Belayar Ke Ambon Manise merupakan catatan kembara Marzuki di Indodesia yang keras dan kasar, indah mengasyikkan sekali gus, mengasuhnya untuk mencintai sejarah yang banyak dibacanya.

Catatan dari Pontianak ke kota metropolitan Jakarta pada awal tahun 1978 diteruskan dengan perjalanan keliling. Beliau asyik menyelami budaya etnik setempat di pulau-pulau Sumatera, kalimantan di Borneo, Sulawesi, Maluku, Nusa Tenggara Barat dan Timur, juga di Papua - Irian Jaya. Sajak-sajaknya menyentuh soal keindahan alam semula jadi, seni dan budaya masyarakat yang tebal oleh kesukuan dan peradaban timur serta menjengah amalan sosiopolitik dengan sisa ditinggalkan penjajah dengan kritis.

Himpunan cerpen kanak-kanak karya Muhammad Irfan pula memaparkan persoalan seperti kecekalan hati berdepan dengan cabaran dengan sikap berdaya saing, kasih sayang, saling menghormati dan berkerjasama dengan semangat kekitaan. Memuatkan lima buah cerpen, cerita-cerita dalam buku ini boleh menanamkan sikap positif di dalam diri kanak-kanak dalam lingkungan harmoni masyarakat majmuk.