Sikap mudah mesra yang ada pada dirinya membuatkannya mudah didekati namun hal itu juga mendatangkan masalah padanya. Ramai lelaki yang sering tersalah sangka dan menyimpan perasaan cinta dalam diam-diam. Paling menakutkan pemilik nama sebenar Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi ini mengaku pernah diganggu suami orang merangkap rakan perniagaannya gara-gara sikap terbukanya itu.

“Setiap hari dia menghantar bunga dan hadiah sampaikan saya sendiri naik rimas. Bukan itu sahaja, ke mana saya pergi, pasti dia mengekori. Puas saya cakap secara baik tapi dia tetap berdegil. Sebab dah tak tertahan sangat, saya ambil keputusan sekat nombor telefon dia.

“Peliknya dia tetap juga berdegil. Tak dapat telefon dan mesej, dia cari pula saya di media sosial. Akhirnya nak tak nak saya gertak untuk laporkan perkara tersebut kepada pihak polis. Masa tu saya dah tekad biar pihak berkuasa sahaja yang ambil tindakan. Lama kelamaan barulah dia berhenti mengganggu,” tutur duta Silky Girl ini.

Eyka sebenarnya tidaklah terlalu memilih dalam berkawan. Namun jika lelaki yang ingin mendampinginya berstatus suami orang, dia terpaksa menolak awal-awal lagi. Dia bimbang akan menimbulkan masalah dan menyusahkan hidupnya pada masa hadapan.

“Itu prinsip yang saya pegang. Tak mungkin saya akan menyakiti hati dan perasaan kaum sendiri. Saya dah lihat sendiri, ramai anak yang terabai apabila bapa mereka berkahwin lain. Itu bukanlah bermakna saya menolak poligami tetapi kalau boleh sentiasa mencuba untuk mengelak selagi termampu,” tuturnya yang kini lebih selektif memilih teman.

Pelakon ini juga sering ditanya perihal kahwin oleh ibunya. Jika boleh wanita kesayangannya itu ingin melihat dirinya berumah tangga dan menimang cahaya mata secepat mungkin. Memahami perasaan seorang ibu, Eyka bagaimanapun percaya masanya pasti akan tiba juga nanti.

“Mungkin sebab ibu anggap saya anak sulung selepas kakak meninggal dunia tahun lalu. Apapun saya selalu cakap pada ibu yang saya ni masih muda. Banyak impian dan cita-cita yang belum tercapai lagi. Kalau boleh saya ingin berkahwin sebelum usia 30 tahun,” ujar bintang filem Juvana 2 ini lagi.

Mengakui sedang mengenali hati budi seseorang, si cantik ini bagaimanapun lebih senang berkawan dahulu dan membiarkan masa yang menentukan hubungan mereka. Enggan kecewa pada masa hadapan, dia berharap agar semuanya baik-baik sahaja hingga tiba masa untuk berjodohan nanti.

“Kami berkawan dah hampir tiga tahun. Setiap kali saya perlukan seseorang untuk berkongsi masalah atau apa sahaja, dia adalah orang yang paling tepat selain keluarga dan juga pihak pengurusan. Selain teman rapat, saya juga menganggap dia seperti abang sendiri. Kalau saya buat silap, dia akan tegur baik-baik,” katanya dalam nada bahagia.

 

SEKSI HAK PERIBADI

Jika sebelum ini dia lebih dikenali kerana imej seksi dan kisah negatif berbanding kerjaya namun pelakon kelahiran Ampang, Selangor ini berharap agar tidak mengaitkan lagi dirinya dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan keuntungan terhadapnya.

“Tidak dinafikan dulu saya masih remaja dan berada dalam fasa belum matang. Sebagai manusia biasa, saya juga tidak terlepas daripada berbuat salah. Janganlah menghukum saya kerana setiap orang perlu diberi peluang dan ruang untuk berubah seterusnya menjadi lebih baik.

“Tentang imej pula, selama ini saya cuba jadi diri sendiri dan tidak suka berpura-pura. Peminat yang menyokong, sudah tentu tidak suka artis kesayangan mereka berbohong. Saya sedar bukan senang untuk memuaskan hati semua orang. Lebih baik puaskan hati sendiri terlebih dahulu. Itu lebih penting,” ujarnya.

Katanya lagi, sebelum memuat-naik gambar ke laman sosial, dia terlebih dahulu akan memastikan gambar tersebut tidak terlalu seksi namun dalam masa yang sama akur bahawa setiap orang mempunyai pandangan yang berbeza.

“Kadang-kadang pada mata saya tak adalah seksi mana pun tapi bila orang lain anggap sebaliknya pula. Kalau nak difikirkan pening jadi saya lebih suka buat tak tahu sahaja. Itu lebih senang tak perlu nak tertekan,” ujarnya yang tidak mahu terbatas dalam bergaya.

Di awal kemunculannya dalam bidang seni ketika usia 15 tahun, dia sering diberi watak sebagai pelajar sekolah. Sinonim dengan watak tersebut sehingga kini ramai peminat yang masih menganggap dirinya remaja. Sedangkan dia kini sudah pun mencecah usia 20-an.

Tidak menyalahkan situasi tersebut sepenuhnya, Eyka bagaimanapun sedar tubuh badannya yang kecil membuatkan ramai yang terkeliru dengan usia sebenarnya. Disebabkan itu, dia agak sukar untuk mendapatkan watak sebagai wanita dewasa.

Mahu keluar daripada dibelenggu situasi tersebut sehinggakan dia terpaksa menaikkan berat badannya yang hanya sekitar 40 kilogram.

“Alhamdulillah saya berjaya mendapatkan berat yang sesuai dan tidaklah terlalu kurus. Sekarang pun saya sudah mula mendapat tawaran membawakan watak-watak dewasa. Kalau ada pun babak pelajar sekolah, cuma sekadar babak mengimbas kenangan sahaja,” ujarnya.