Tiap kali bulan Syawal tiba, ayat ‘balik kampung’ pastinya tak akan pernah lekang di bibir memandangkan ini adalah  masa terbaik untuk kita bercuti dan meraikan bersama-sama kaum keluarga.
Tidak terkecuali golongan selebriti yang mencari rezeki di ibu kota akan turut bercuti panjang untuk pulang ke kampung masing-masing.


Setahun melibatkan diri dalam dunia lakonan di Malaysia, pelakon kelahiran seberang tambak, Erwin Dawson, 26, ini berkongsi kegembiraan untuk pulang ke kampung halaman di Senja Road, Singapura.
“Tahun ini agak istimewa sedikit kerana saya dapat beraya lama dengan keluarga di Singapura iaitu selama enam hari. Di mana dua hari sebelum raya saya sudah berada di sana untuk berbuka puasa bersama keluarga.
“Bezanya barangkali raya kali ini jatuh pada hari Jumaat, jadi saya boleh sambung cuti hingga Sabtu dan Ahad. Lebih banyak  masa yang akan saya peruntukkan bersama keluarga,  bersama-sama menziarahi saudara terdekat di sekitar Singapura sebelum pulang ke Malaysia semula,” tutur jejaka campuran Melayu-New Zealand ini.


Namun, ada sesuatu yang membuatkan pelakon ini merindui saat berkumpul bersama sanak-saudara yang dipraktikkan sejak bertahun lalu kerana dia kini tidak lagi berpeluang untuk merasai pengalaman indah sebegitu sejak kematian datuk, lima tahun lalu.
“Kalau masa atuk ada, ibu saudara dan pakcik saudara sebelah ibu akan berkumpul di rumah atuk. Memandangkan ibu ada sembilan orang adik-beradik, suasana di rumah atuk akan jadi lagi riuh dan meriah dengan pelbagai gelagat.
“Tapi sejak atuk sudah tiada ini, kami semua sudah tidak berkumpul macam dahulu dah. Kebanyakan pakcik dan makcik akan berkunjung ke rumah orang yang lebih tua di sebelah keluarga suami atau isteri mereka.
“Secara peribadinya dalam keluarga, hanya saya dan abang sahaja yang belum berkahwin. Jadi, kami berdua akan ikut sahaja ayah dan ibu berkunjung ke rumah saudara-mara sebab abang yang sulung sudah mempunyai keluarga sendiri,”ujarnya yang cukup menggemari masakan air tangan ibunya di pagi raya iaitu sambal udang dan ayam masak merah.
Erwin juga kini sedang menanti tayangan lakonannya iaitu sebuah filem berjudul Warna Cinta Impian arahan N.S Krishna. Erwin berlakon di samping Erra Fazira, Awie, N.S Krishna, Nelydia Senrose dan Shiqin Kamal.

Bil Azali beraya di tiga tempat

PELAKON lelaki kelahiran rancangan Pilih Kasih ini, Bil Azali sememangnya beruntung kerana dilahirkan dalam keluarga yang besar. Justeru Syawal penuh dengan kemeriahan kerana dia bakal menziarahi tiga buah kampung halaman di kedua-dua belah ibu dan ayahnya.

“Setiap tahun saya dan keluarga wajib beraya di tiga kampung sebelah ibu dan ayah. Raya pertama tahun ini kami akan ke Pahang dahulu iaitu di sebelah ibu sebelum raya ketiga akan ke Perak di sebelah keluarga ayah pula.

“Raya kelima barulah kami akan ke Sarawak untuk menziarahi nenek di sebelah ayah. Setiap tahun rutin berhari raya kami sekeluarga beginilah. Memang meriahlah sebab adik-beradik ayah dan ibu ramai, jadi suasana itu jadi lebih bermakna bila berkumpul sekali setahun,” ujar bintang drama Istana Cinta Aleesa.

Bil atau nama penuhnya Mohamad Nabil Razali,24, turut berkongsi kegembiraan kerana dia akan beraya dengan anak buah baru pada tahun ini.

“Ya, raya kali ini lebih bermakna bila keluarga besar saya seramai lapan orang akan diserikan lagi dengan orang baharu, anak buah kedua yang baru sahaja berusia beberapa bulan.

“Tahun ini juga saya tak berbelanja lebih untuk persiapan raya, cukup hanya tiga pasang baju sahaja. Bagi saya, semakin meningkat dewasa ini, seeloknya tak perlulah berlebih-lebihan,” kata penggemar ketupat pulut sebagai juadah wajib di hari raya.

Azmil balik Tawau

Berbeza pula buat anak didik Dayang Nurfaizah yang dicungkil bakatnya menerusi program realiti Mentor Legend, Azmil Karim,23, ini yang hanya akan pulang ke kampung halamannya di Tawau, Sabah pada hari raya kelima. Ini kerana dia punya komitmen dengan beberapa program televisyen.

“Ini bukanlah kali pertama saya tak balik pada hari raya pertama, kerana sebelum saya terlibat dalam bidang nyanyian, saya terlebih dahulu bekerja di Hotel Legoland, Johor Bahru memang tak berpeluang balik sebelum raya.

“Sudah tiga tahun saya tak balik ke Tawau untuk menyambut Syawal pertama bersama dengan keluarga. Nak kata sedih itu, tak adalah sangat, mungkin sudah terbiasa. Lagipun keluarga faham dengan tuntutan kerja saya di ibu kota,” tuturnya.

Tambah Azmil, biarpun perlu bekerja di pagi raya, dia tidak pernah anggap itu satu beban buatnya malah menganggap itu satu pengalaman berharga yang perlu dikutip sebagai bekalan anak seni.

“Selama ini saya hanya duduk di depan TV dan tonton program raya selebriti kegemaran saya, tapi tahun ini saya pula yang akan muncul di kaca TV.

“Memang kalau diikutkan ramai nak pulang ke kampung beraya bersama keluarga, tapi saya bersyukur keluarga cukup memahami tugas saya. Ibu pun sudah tahu juadah kegemaran saya, jadi dia akan sediakan masakan ayam masak kicap dan ayam tomato,” katanya yang bakal muncul menerusi program raya Menjadi Diriku Azmil, Indahnya Takbir, Kita Punya Raya serta Mentor Legend Raya.

Falisha beraya di Perth

SI genit Nur Falisha Crossley Faisal atau mahu dikenali sebagai Falisha Crossley ini mengharapkan cuti panjang selama dua minggu sempena menyambut kedatangan musim perayaan akan terisi dengan pengalaman berharga.

Bagi Falisha, 30, inilah peluang yang dapat digunakan untuk bercuti lama selepas berhempas-pulas di set penggambaran sepanjang bulan Ramadan lalu. Dia yang pulang empat hari lebih awal sebelum umat Islam menyambut bulan Syawal ke kampung halamannya di Petra Jaya, Sarawak ini seboleh mungkin mahu berbuka puasa bersama.

Hubungannya dengan famili begitu rapat mungkin faktor keluarga mereka yang tidak begitu ramai kerana Falisha hanya mempunyai seorang abang dan dia merupakan anak bongsu. Atas sebab itulah setiap tahun dia akan berasa teruja untuk pulang ke kampung halaman.

“Saya jenis yang cepat seronok bila dapat cuti panjang, lagi lama cuti hari raya, lagi seronok. Malah, saya pun tak sabar-sabar nak beli tiket penerbangan pulang ke Sarawak.

“Saya memang ambil cuti awal sebab nak berbuka bersama dengan keluarga. Sebab di saat-saat akhir Ramadan inilah orang kata lagi seronok berada di samping keluarga,” tutur pelakon Istikharah Cinta ini.

Menariknya raya kali ini, Falisha dan keluarganya akan terbang ke Perth, Australia pada hari raya ketiga nanti untuk bercuti.

“Ini baru pertama kali kami sekeluarga merangka percutian di musim hari raya. Perancangan ini datang secara spontan dan destinasi pilihan ialah Perth.

“Percutian saya bersama ibu dan bapa akan turut disertai oleh 
abang dan kakak
ipar. Saya harap pada tahun hadapan pun percutian keluarga ini akan tetap diteruskan sebagai satu tradisi baharu kami sekeluarga sebab ini sahaja cara nak curi masa untuk luangkan 
masa bersama,” ujarnya yang baru sahaja selesai penggambaran filem Mat Motor arahan Pekin Ibrahim dan Syafiq Yusof.