Mana tidaknya, selain menang besar pada malam itu, insiden dia hampir terjatuh ketika persembahan sketsa dengan Zul Ariffin cukup mendapat perhatian. Kalaulah Zul tidak ada masa itu, mungkin dia sudah pun jatuh tersungkur dan kena gelak beramai-ramai.

Sudah diagak, adegan Lofa berpaut pada tangan hero itu akan menjadi buah mulut. Ramai yang tidak puas hati dan Lofa dikatakan sengaja mengambil kesempatan memegang tangan Zul. Tidak masuk akal betul tuduhan itu ya.

Tak cukup itu ada juga yang mengatakan semuanya sekadar gimik untuk mempromosikan drama mereka Ti Amo, Sweetheart 100 Hari yang akan ditayangkan Ogos nanti. Tak baiklah cakap macam tu. Rasanya, tak logiklah bab jatuh ni dia nak buat gimik kerana dia pun sudah sedia popular, perlu ke gimik sampai begitu sekali?

Dalam satu kenyataan, Lofa mengakui dia sedar dengan komen yang sering dilemparkan kepada dirinya. Tambah menyedihkan, dia tahu ada pihak yang bukan sahaja mahu melihat dia tersungkur pada malam itu sahaja, tetapi ingin melihat dia jatuh tersungkur dalam industri juga. Makna kata, ada individu dan satu kelompok yang hari-hari berharap agar Lofa tewas dan tidak lagi mendapat tempat dalam industri. Mereka mahu Lofa dibenci dan dihina oleh semua orang, baru mereka puas hati, agaknya.

Biasalah tu semakin popular maka semakin ramailah pula yang tak suka dan dengki melihat kejayaan kita. Apabila kita buat benda baik pun, tak semua orang akan suka. Apatah lagi kalau kita buat hal yang tersilap langkah sedikit, huru-hara jadinya mereka sebab tak sabar hendak menghentam. Akan bertalu-talu kita disumpah seranah, sepuas-puas hati mereka. Seolah-olah, melihat kejatuhan itu adalah satu kejayaan dan kepuasan maksimum kepada mereka sehingga lupa akan balasan buruk yang mereka sendiri bakal terima kalau aniaya orang lain.

Atas penganiayaan dan kutukan tidak bertepi itu, rezeki Lofa tetap murah. Nah sekarang dah terbukti pun awak memang kekal popular dan ‘gah’ di singgahsana, tanpa menumpang sesiapa. Jadi tak payahlah ambil tahu tentang apa yang orang perkatakan, pandang sebelah mata sahaja, libas tudung dan terus jalan. Teruskan hidup sebagai ‘artis muda yang kaya dan berhati mulia’ macam sekarang. Dan lebih penting lagi, kekayaan tu adalah hasil titik peluh sendiri, insya Allah semua akan selamat dan terjaga. Perlu ingat, di luar sana terdapat jutaan lagi manusia lain yang masih menyayangi diri kamu, selain keluarga.

Pada malam tersebut, Lofa memenangi beberapa anugerah antaranya Pelakon TV MeleTOP, Top Top MeleTOP Wanita selain drama lakonannya Red Velvet turut memenangi anugerah Drama MeleTOP. Nah, masih berjuta orang yang sayangkan Neelofa?