Bagi mengubati rindu peminat, BPR akan muncul dalam Konsert Silaturahim BPR di G Tower pada 10 Mac ini.

Menurut vokalisnya, Joey atau nama sebenarnya Johari Mat Rozekhi, 56, faktor usia bukan penghalang untuknya memberikan yang terbaik setiap kali persembahan.

“Sebelum konsert, latihan untuk menguatkan stamina dan persiapan-persiapan menjadi amalan biasa. Namun, perkara yang membuatkan peminat merasai apa yang disampaikan setiap kali konsert adalah kerana prinsip saya yang menyanyi seperti esok sudah mati.

“Ini bukan bermaksud saya mendoakan kematian, cuma itulah gambaran kesungguhan yang saya dan ahli BPR lain tunjukkan setiap kali persembahan kecil atau besar. Kami akan lakukan sehabis baik dan memuaskan hati peminat yang sentiasa setia menyokong.

“Tidak dinafikan, penyanyi juga manusia biasa yang pastinya ada kelebihan dan kelemahan tersendiri. Namun kami janjikan yang terbaik sesuai dengan kematangan kami yang sudah mencecah 35 tahun dalam industri muzik,” kata Joey yang tidak berniat membanggakan diri mempunyai suara yang masih baik.

Bagi Joey, kemunculannya pada konsert nanti adalah kerana harapan orang lain terhadap BPR. Konsert memang menelan belanja  yang tinggi, namun Joey menganggap nilai ‘kesetiaan’ mereka lebih berharga.

“Saya menyanyi bukan disebabkan kebolehan suara untuk terus menyanyi tetapi membawa harapan orang di belakang kami seperti peminat dan komposer. Tanpa sokongan mereka, tak mungkin BPR boleh ‘bernafas’ lebih tiga dekad dalam industri.

“Disebabkan itu, antara keistimewaan dan kelainan yang kami tampilkan adalah perjalanan konsert seperti teater yang mengandungi elemen dari hati ke hati seperti suka duka perjalanan BPR.

“Elemen ini akan mendekatkan lagi BPR dengan para peminat yang sudah berpuluh-puluh tahun menyokong kami,” ujarnya.

Selain Joey, kumpulan BPR turut dianggotai oleh Awang (Norzaini Mohammad), 56, Enal (Raja Zainal Abidin Raja Hasnan), 58, dan Yem Bai (Abdul Rahim Mohd Zain), 54.

Tetap beraksi walau sakit

Demi peminat tersayang, sakit yang dialami oleh Joey dan gitaris utama, Awang tidak menjadi halangan untuk mereka beraksi dalam konsert itu kelak.

“Saya menghidap darah tinggi namun saya sentiasa menjaga pemakanan dan Alhamdulillah, setakat ini semuanya terkawal.

“Dalam konsert nanti pun akan disediakan pasukan perubatan jika timbul masalah kesihatan kepada saya dan ahli-ahli BPR yang lain,” katanya.

Selain Joey, Awang juga pernah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur dua tahun lalu disebabkan serangan jantung.

Kelab peminat

Walaupun ramai yang beranggapan penubuhan kelab peminat selepas 35 tahun sudah terlambat, namun bagi Joey, lebih baik ada kelab peminat daripada tiada langsung.

“Benar, pada ketika artis lain sudah mempunyai kelab peminat, BPR pula baru sahaja menubuhkannya.

“Bagi saya, kami sudah lama mempunyai kumpulan peminat, cuma tidak ditubuhkan secara rasmi sahaja.

“Tak apalah lambat, sekurang-kurangnya BPR tetap ada kelab peminat untuk merapatkan lagi hubungan dengan mereka selain mahu mengisi dana untuk menjayakan persembahan atau konsert yang akan datang.

“Menerusi kelab peminat ini, BPR akan menjual barangan premium seperti baju T, mug dan pelbagai cenderahati lain untuk menambah pendapatan,” katanya.

Bagi mereka yang berminat untuk menonton Konsert Silaturahim BPR, jangan lupa dapatkan tiket berharga RM100 menerusi www.bprticket.tk.