Namun kecintaan yang mendalam terhadap dunia nyanyian menyuntik semangat pemilik nama Siti Sarah Raissuddin, 34, untuk kembali aktif meskipun dia perlu berjuang mengembalikan kehebatan vokal bernada tinggi mahupun rendah.

Enggan kemampuannya mendendangkan lagu dipersoal, Siti Sarah mencari alternatif lain bagi memastikan setiap persembahannya berjalan lancar dengan memasukkan rasa dan jiwa menerusi penyampaian sesebuah lagu.

“Semakin meningkat usia, nada suara sememangnya memberi kesan berbeza kepada setiap penyanyi. Untuk saya, Tuhan uji saya apabila bakat saya ditarik selepas bersalin.

“Semuanya hilang dan saya tidak boleh menyanyi dalam nada tinggi atau rendah. Lantas, pada masa itu, memang saya banyak muhasabah diri. Selepas itu, saya mengambil keputusan untuk menyanyi dalam nada yang saya mampu, tidak terlalu rendah atau terlalu tinggi.

“Pada masa yang sama, saya belajar menyanyi dengan penuh perasaan. Setiap lagu saya hayati dan secara tidak langsung saya dapat menyampaikannya dengan lebih rasa dan jiwa,” jelas Sarah usai menjayakan Siti Sarah Special Showcase yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Persembahan istimewa yang Sarah tujukan kepada peminat setia yang sentiasa menyokong kerjaya seninya selama ini, naib juara Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) ini tidak tampil sendirian. Sebaliknya Sarah menjemput beberapa orang penting dalam hidupnya untuk bersamadi pentas termasuk suami tercinta, Shuib; bapanya, Raissuddin Hamzah; serta rakan seperjuangan, Mark Adam dan Dafi.

Menyanyikan lagu Kejoraku Bersatu dengan Shuib, mereka tampak serasi di pentas. Justeru, Sarah dan Shuib tidak terlepas daripada ditanya adakah mereka merancang untuk bergelar rakan duet.

Menurut Sarah, perancangan ke arah itu memang wujud dan mereka akan mencari lagu yang sesuai untuk dinyanyikan bersama-sama.

“Sebelum ini kami pernah merakam lagu duet, namun tidak mendapat sambutan dan tidak dipromosikan. Selepas ini, kalau ada rezeki, kami memang ada rancang untuk keluarkan single bersama,” jelasnya.

Impi persembahan di Singapura

KEJAYAAN Siti Sarah Special Showcase anjuran Indigital Sdn. Bhd. & MRS Production itu membuktikan kehebatan ibu kepada Uwais Alqarni, Dzahira Talita Zahra dan Ariq Matin ini di pentas persembahan.

Bukan itu sahaja, menurut Sarah, malam penuh bermakna itu mampu menempa kejayaan kerana dibantu dan disokong oleh pasukan terbaik.

Disebabkan itu, Shuib teruja berkongsi impiannya untuk membawa pasukan tersebut sekiranya mereka mendapat rezeki mengadakan persembahan di Singapura.

“Saya suka pasukan malam ini. Bermula dengan pengurusan, sistem bunyi dan band, semuanya saya suka. Mereka memberi lebih daripada yang saya bayangkan.

“Sebelum persembahan, saya ada terfikir sekiranya (persembahan) menjadi, saya ingin membawa pasukan ini ke Singapura pula.

“Saya ada keinginan sebesar itu kerana saya yakin saya mempunyai penyanyi yang hebat seperti Sarah.

“Jadi, kalau ada rezeki, saya mahu membawa pasukan yang saya gelarkan sebagai dream team ini ke Singapura atau nama-nama negara yang ingin melihat persembahan kami.

“Doakan agar impian saya ini dapat menjadi kenyataan,” ujar Shuib.

Kemunculan Sarah pada persembahan tersebut mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada peminat dan Jangan Kau Mimpi sebagai lagu pembuka tirai menghangatkan malam.

Dengan himpunan lagu-lagu antaranya Saat Hilang Cintamu, Ke Hujung Dunia, Ku Teruskan, Pohon Asmara, Kesetiaan, Bersamamu, Tinggalkan Dirimu serta single baharunya, Semakin, persembahan selama dua jam itu diiringi Faizal Uzir selaku pengarah muzik.

Sarah yang mendendangkan 22 buah lagu turut memilih seleksi medley ketika menyertai GV3 antaranya Teratai Layu Di Tasik Madu, Joget Sayang Disayang, Bunga Angkasa dan Sengol Sengolan Cubit Cubitan.

Sementara segmen duet dengan tetamu istimewa, Sarah mempersembah lagu Kejoraku Bersatu dengan suaminya, Shuib; Sandarkan Pada Kenangan (Mark); Menari Denganku (Dafi); dan Jangan Ada Dusta Di Antara Kita (Raissuddin).